25 OGOS: Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan tiga pemimpin utama Pakatan Harapan (PH) hari ini mencapai kata sepakat untuk mengadakan gencatan politik bagi membolehkan kerajaan memberi fokus kepada usaha memerangi COVID-19 dan memulihkan ekonomi negara.
Ismail Sabri berkata, perkara itu dicapai hasil perbincangan beliau bersama Ketua Pembangkang merangkap Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim; Presiden Parti Amanah, Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng di Pejabat Perdana Menteri di Putrajaya hari ini.
Jelas Ismail, pertemuan berkenaan diadakan bagi menjunjung kasih di atas nasihat Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah untuk meredakan suhu politik dalam negara.
“Pertemuan yang berlangsung selama lebih satu jam ini, tertumpu kepada agenda kepentingan rakyat dalam mencari titik persamaan yang terbaik bagi menangani krisis pandemik COVID-19, menjaga nyawa dan keselamatan diri daripada ancaman wabak dan membebaskan rakyat daripada cengkaman ekonomi berikutan kehilangan pekerjaan dan pendapatan.
“Persetujuan bersama turut dicapai dalam memperkasa fungsi Parlimen Malaysia sebagai institusi yang bertanggungjawab dan konstruktif, menyemak dan mengimbang tadbir urus eksekutif supaya lebih telus dan memenuhi kehendak rakyat.
“Saya bersama pemimpin-pemimpin pembangkang juga bersetuju dan memahami peri pentingnya kebebasan badan kehakiman, reformasi institusi dan tatakelola kerajaan yang baik bagi memastikan keadaan yang lebih kondusif untuk rakyat dan negara dalam konteks Keluarga Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Terdahulu, media melaporkan Perdana Menteri, hari ini mengadakan pertemuan dengan beberapa pemimpin blok pembangkang di Pejabat Perdana Menteri di Putrajaya.
Pengarah Komunikasi PKR, Fahmi Fadzil ketika mengesahkan perkara itu, berkata pertemuan pada jam 2 petang itu dihadiri Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH), Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng.
“Ia adalah jemputan yang dikeluarkan oleh Pejabat Perdana Menteri kepada tiga pemimpin tertinggi Pakatan Harapan (PH) itu,” katanya ringkas kepada pemberita hari ini.