PKPD di 13 Lokaliti Di Sabah, Kampung Orang Asli Tamat Esok
25 OGOS: Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di 12 lokaliti di Sabah serta tiga Perkampungan Orang Asli (OA) di Post Brooke, Gua Musang, Kelantan akan berakhir esok seperti yang sudah dijadualkan.
Ketua Pengarah Majlis Keselamatan Negara (MKN), Datuk Rodzi Md Saad berkata, tiga Kampung OA itu terletak di Kampung Jedip WCT, Kampung Seng Sang dan Kampung Sendrop
“Di Sabah, tiga lokaliti yang akan ditamatkan di Tuaran iaitu Kampung Bolong Baru, Kampung Sungai Damit serta Kampung Simpangan di samping Kampung Lahat-Lahat Pulau Sebatik dan Kampung Kongsi 8 di Tawau turut ditamatkan.
“Selain itu, Ladang Bukit Mas, Ladang Linbar 1, Kinabatangan; Perumahan Ladang Reka Halus, Perumahan Ladang Boustead Trunkline, Beluran; Kampung Kayu Madang, Telipok, Kota Kinabalu; Kampung Batition, Kota Marudu dan Kampung Sunsuron, Tambunan turut ditamatkan,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.
Dalam pada itu, Rodzi memaklumkan sebanyak 12 lokaliti di tiga negeri termasuk Kampung Orang Asli Kuala Masai di Johor akan dilaksanakan PKPD selama dua minggu bermula Jumaat ini.
Menurut beliau, di Sabah, dua lokaliti masing adalah di Penampang dan Ranau iaitu Beverly Hills Fasa 5, Kampung Nambazan, Kampung Lohan Ulu dan Kampung Libang dan tiga lagi adalah di Telupid iaitu Kampung Gading, Kampung Ulu Sapi dan Ladang Melia.
“Selebihnya yang akan dilaksana PKPD di Sabah mulai Jumaat ini adalah Rancangan Batu 22 Apas, Tawau; Kampung Landung Ayang, Kudat; dan Kampung Pengalat Kecil, Papar manakala di Pahang pula adalah Ladang Cheekah di Bera.
“Kerajaan juga turut bersetuju melanjutkan PKPD di lapan lokaliti di Sabah bermula Jumaat ini dan daripada jumlah itu dua adalah di Tawau iaitu Kampung Bergosong, Pulau Sebatik, Projek Perumahan Rakyat (PPR) Taman Sri Apas Batu.
“Manakala selebihnya adalah di Tuaran iaitu
Kampung Betutai, Kampung Bontoi Kampung Kindu, Kampung Serusop, Taman Sri Rugading, dan Taman Telipok Ria,” katanya. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH