25 OGOS: Bukit Aman memberi amaran akan mengarahkan premis peniagaan ditutup serta-merta jika didapati melanggar prosedur operasi standard (SOP) perintah kawalan dalam Pelan Pemulihan Negara (PPN) termasuk membenarkan individu tidak lengkap vaksinasi memasuki premis terbabit.
Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam, Bukit Aman, Datuk Zainal Abidin Kasim, berkata kerajaan tidak akan bertolak-ansur terhadap premis perniagaan yang gagal mematuhi peraturan dan SOP ditetapkan.
Berikutan itu, Zainal menegaskan polis akan mempertingkatkan operasi pemeriksaan dan pemantauan di premis berkaitan di seluruh negara bagi memastikan SOP PPN dipatuhi secara menyeluruh.
“Atas sebab itu, kita membuat kajian untuk mengurangkan sekatan jalan raya secara berperingkat terutama di daerah kerana anggota yang terbabit dengan penugasan itu boleh dikerahkan untuk tugasan lain seperti pemeriksaan mengejut di premis.
“Sekarang pun orang ramai dibenarkan bergerak lebih 10 kilometer dalam daerah sama, jadi pengurangan sekatan jalan raya di kawasan itu boleh dilaksanakan. Pemantauan juga membabitkan kerjasama dengan pihak berkuasa tempatan (PBT),” katanya pada sidang media di Kem Batalion 4 Pasukan Gerakan Am (PGA), Semenyeh, hari ini.
Terdahulu, polis menahan pasangan suami isteri yang bertindak memasuki beberapa kedai serta makan di restoran walaupun tidak lengkap dua dos vaksin COVID-19 seperti tular di Facebook.
Pasangan suami isteri berusia 35 tahun dan 36 tahun itu telah ditahan di rumah mereka di Bandar Putera 2, Klang.
Berikutan itu, Zainal menasihatkan orang ramai supaya sentiasa mematuhi SOP PPN dan tindakan tegas akan diambil terhadap mereka yang gagal berbuat demikian.
“Sebagai contoh, kerajaan beri kelonggaran kepada mereka lengkap vaksinasi boleh makan di kedai, tetapi ada individu tidak lengkap (vaksinasi) ambil kesempatan.
“Selain penguatkuasaan polis, orang awam juga perlu berperanan dalam usaha mengawal penularan COVID-19 dengan mematuhi arahan kerajaan,” katanya.