25 OGOS: Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu menegaskan beliau tidak akan berkecil hati biarpun tidak dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri (TPM).
Biarpun tidak dilantik sebagai TPM, Ahli Parlimen Tambun berkenaan berkata beliau kekal akan menyokong kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam pembentukan barisan Kabinet.
“Saya percaya semua orang boleh nampak saya tak kecewa kalau tak dilantik (Timbalan Perdana Menteri). Saya sentiasa bersemangat untuk memberikan khidmat kepada rakyat.
“Sekarang saya kembali kepada kapasiti saya sebagai ADUN Chenderiang dan Ahli Parlimen Tambun, dua tanggungjawab ini cukup besar. Saya tak kecewa.
“Saya gembira apabila kerajaan dapat ditubuhkan dan berharap ini boleh mengeluarkan rakyat daripada kesengsaraan akibat COVID-19.
“Saya tetap sokong pimpinan Perdana Menteri yang akan membentuk Kabinet, saya akan beri kerjasama penuh,” katanya dalam sidang akhbar secara maya selepas menghadiri perasmian Mesyuarat Pertama Tahun Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak Ke-14 , di Ipoh hari ini.
Bekas Menteri Besar Perak itu juga menegaskan beliau menganggap satu perhormatan besar bagi dirinya sekiranya dilantik sebagai Menteri Kabinet.
“Sudah tentunya jika dilantik menteri, ia datang bersama tanggungjawab besar terutama dalam krisis ekonomi dan kesihatan yang tidak pernah berlaku disebabkan COVID-19.
“Kalau dilantik menteri, saya akan beri yang terbaik. Jauh lebih penting ialah sokongan kepada Perdana Menteri untuk menubuhkan pasukan yang akan menyokong dasar-dasar yang akan dilaksanakan kelak,” katanya.
Ditanya mengenai pelantikan ahli Parlimen BERSATU untuk mengganggotai Kabinet, Ahmad Faizal berkata, majlis pimpinan tertinggi parti telah memutuskan untuk menyerahkan kepada Presiden, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk mencadangkan nama-nama calon ahli parlimen dari parti itu untuk jawatan dalam kerajaan.
“Kami serahkan kepada Presiden untuk mencadangkan nama-nama ahli Parlimen BERSATU untuk jawatan Timbalan Perdana Menteri, Menteri dan Timbalan Menteri.
“Nama-nama ini akan diserahkan kepada Perdana Menteri dan diputuskan sebelum disembah maklum kepada Yang di-Pertuan Agong,” katanya.
Ahmad Faizal antara pemimpin tertinggi BERSATU yang disebut-sebut sebagai calon Timbalan Perdana Menteri selain daripada Setiausaha Agung, Datuk Seri Hamzah Zainuddin dan Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Datuk Seri Mohd. Redzuan Md. Yusof.