26 OGOS: Jumlah jangkitan baharu COVID-19 di negara ini mencatat kes tertinggi hari ini iaitu 24,599 kes menjadikan jumlah kumulatif kepada 1,640,843.
Sebelum ini kes tertinggi dicatatkan pada 20 Ogos iaitu 23,564.
Bukan itu sahaja, Malaysia turut merekodkan angka korban tertinggi hari ini iaitu 393 kematian, sekali gus membawa kepada jumlah kumulatif 15,211 (0.93 peratus) kes, setakat ini.
Angka korban baharu itu meliputi 100 kematian di luar fasiliti kesihatan (BID), membabitkan masing-masing 50 rakyat Malaysia dan warga asing.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata Selangor mencatat 125 kematian baharu, diikuti Kuala Lumpur (61) dan Johor (48).
“Selain itu, Melaka (33), Pulau Pinang (31), Sabah (26), Negeri Sembilan (20), Kedah (15), Perak (15), Kelantan (sembilan), Pahang (lapan) dan Terengganu (dua),” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Noor Hisham berkata, Selangor terus kekal merekodkan jumlah kes harian tertinggi iaitu 6,936.
“Diikuti Sabah (3,487), Johor (2,785), Pulau Pinang (2,078) dan Sarawak (2,024), Kedah (1,538), Kelantan (1,312) dan Perak (1,170),” katanya.
Negeri-negeri lain mencatatkan kes di bawah 1,000 ialah Kuala Lumpur (881), Negeri Sembilan (526), Pahang (690), Terengganu (567) dan Melaka (515) manakala Putrajaya hanya 20 kes, Perlis (67) dan Labuan (3).
Dalam pada itu, beliau berkata, Malaysia turut mencatat angka kes sembuh tertinggi dalam tempoh sebulan, iaitu 22,657 yang membawa kepada jumlah kumulatif 1,359,791 (82.87 peratus).
“Jika dibandingkan, bilangan kes discaj dari hospital pada 25 Julai lalu ialah 1,562 orang, dan ia meningkat kepada 2,153 orang pada 25 Ogos. Ini adalah petanda positif,” katanya.
Dalam pada itu, Dr Noor Hisham memaklumkan sebanyak 990 kes sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), dengan 487 memerlukan bantuan alat pernafasan.