26 OGOS : Timbalan Ketua Pengarah Imigresen (Kawalan), Datuk Makhzan Mahyuddin memaklumkan seramai 96,809 pendatang tanpa izin telah dihantar pulang ke negara masing-masing.
Menurut beliau, kesemua pendatang asing tersebut dihantar menerusi Program Rekalibrasi Pulang pada 20 Ogos lalu.
Sementara itu, Makhzan menjelaskan dalam tempoh yang sama juga seramai 174,068 pendatang tanpa izin telah mendaftar di bawah Program Rekalibrasi Tenaga Kerja untuk digajikan semula secara sah.
“Majikan daripada lima sektor yang mengalami kekurangan pekerja susulan pembekuan pengambilan tenaga kerja asing boleh menggajikan pendatang tanpa izin bagi menampung kekurangan tenaga kerja mereka menerusi Program Rekalibrasi Tenaga Kerja ini.
“Melalui program tersebut, majikan perlu memastikan pendatang tanpa izin berkenaan mempunyai dokumen perjalanan yang sah, didaftarkan dengan Imigresen untuk diverifikasikan dan mendapatkan kelulusan kuota pekerja asing daripada Kementerian Sumber Manusia sebelum diluluskan Imigresen,” katanya kepada Bernama.
Pendatang tanpa izin dari 15 negara antaranya Thailand, Indonesia, India, Pakistan dan Sri Lanka sahaja boleh mengikuti program berkenaan yang diluluskan dan akan diberikan Pas Lawatan Kerja Sementara,ujarnya lagi.
“Lima sektor yang diluluskan di bawah Pelan Rekalibrasi Pendatang Tanpa Izin adalah sektor perladangan, pertanian, pembinaan, perkilangan dan perkhidmatan.
“Berikutan levi pekerja asing yang berlainan, majikan dikenakan bayaran sebanyak RM2,535 bagi setiap pekerja asing untuk sektor pertanian dan perladangan manakala RM3,745 setiap seorang bagi sektor pembinaan, perkilangan dan perkhidmatan,” jelasnya.
Selain itu menurut Makhzan, sebanyak RM640 dikenakan bagi sektor pertanian dan perladangan serta RM1,850 bagi tiga sektor yang lain.
Beliau berkata Pelan Rekalibrasi Pendatang Tanpa Izin akan dilaksanakan hingga 31 Disember ini atau sehingga selesai Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan bagi pendatang tanpa izin.
Kata Makhzan, pihaknya berharap majikan dan pendatang tanpa izin memanfaatkan pelan itu untuk mengelakkan mereka ditahan dan didakwa.
“Bagi pendatang tanpa izin yang mahu mengikuti Program Rekalibrasi Pulang, mereka hanya perlu membayar kompaun antara RM300 hingga ke RM500 mengikut kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan perlu mempunyai tiket penerbangan dan keputusan ujian COVID-19 yang sah.
“Program Rekalibrasi Pulang terbuka kepada semua pendatang tanpa izin kecuali individu yang mempunyai kesalahan jenayah berikutan mereka perlu didakwa di mahkamah terlebih dahulu,” jelasnya.