26 OGOS: Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Melor, Wan Ismail Wan Jusoh meninggal dunia kira-kira jam 12.20 tengah hari ini akibat COVID-19.
Allahyarham yang berkhidmat selama dua penggal pada 1999 hingga 2004 dan 2008 hingga 2013 menghembuskan nafas terakhirnya di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sultan Ismail Petra Kuala Krai, Kelantan.
Sebelum dipilih sebagai ADUN Melor, Allahyarham Wan Ismail bertugas sebagai Setiausaha Akhbar kepada Menteri Besar Kelantan ketika itu, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.
Isteri keduanya, Siti Madinah Ilyas Khan, 59, berkata Wan Ismail disahkan positif COVID-19 pada 7 Ogos lalu dan dimasukkan ke wad biasa hospital berkenaan.
“Kemudian arwah dipindahkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) pada 15 Ogos lepas. Arwah juga sudah lengkap dua dos vaksin COVID-19.
“Allahyarham juga seorang penghidap penyakit kencing manis dan telah ditidurkan di ICU pada Isnin lalu.
“Kami sekeluarga turut dijangkiti COVID-19 kategori satu dan menjalani kuarantin di rumah di Telipot. Begitu juga keluarga di Melor turut dijangkiti,” katanya kepada BERNAMA hari ini.
Siti Madinah juga mengesahkan, jenazah Allahyarham dikebumikan di Tanah Perkuburan Bechah Keranji, Melor, Kota Bharu, pada 5.30 petang selepas solat Asar hari ini.
Sementara itu, Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yakob mewakili kerajaan negeri merakamkan ucapan takziah kepada seluruh ahli keluarga Allahyarham melalui hantaran di akaun rasmi Facebook beliau.
“Semoga roh Allahyarham dicucuri rahmat dan ditempatkan bersama para solihin,” katanya.