26 OGOS : Panglima Tentera, Hadi Tjahjanto dan Gabenor Kalimantan Timur, Isran Noor, dikritik hebat kerana mendakwa sudah menerima suntikan dos penggalak ketiga ketika hanya 22 peratus daripada 270 penduduk di republik tersebut menerima doa pertama suntikan vaksin.
Dua pemimpin tersebut didakwa mengesahkan perkara terbabit dalam satu video secara langsung ketika berbual dengan Presiden Indonesia, Joko Widodo.
Bagaimanapun, rakaman video terbabit kini sudah dipadamkan susulan dikritik hebat oleh pelbagai pihak.
Tjahjanto kemudiannya menafikan dakwaan tersebut ketika bertemu pemberita kononnya beliau sudah menerima dos ketiga, sebaliknya memaklumkan beliau hanya menerima rawatan stem sel sebagai penggalak kepada suntikan vaksin diterimanya.
Manakala Noor pula enggan mengulas dakwaan terbabit dan wakil Istana Presiden pula tidak mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung perkara tersebut.
Pengarah Eksekutif Institut Indikator Politik, Burhanuddin Muhtadi, menyifatkan perbuatan tidak bertanggungjawab itu sebagai sangat tidak adil.
“Ramai lagi rakyat masih belum menerima suntikan pertama vaksin, namun kita melihat pegawai kerajaan beratur untuk mendapatkan suntikan ketiga,” tegasnya.
Setakat ini, daripada 270 juta penduduk Indonesia, hanya 22 peratus sahaja menerima suntikan dos pertama vaksin COVID-19 dan hanya 12 peratus rakyat yang sudah menerima dos lengkap.
Kementerian Kesihatan sebelum ini berulang kali memberitahu dos penggalak hanya untuk petugas kesihatan ketika kementerian itu berusaha meningkatkan kempen inokulasi bagi mengurangkan kadar kematian.