26 OGOS: Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dijangka menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Abdulaziz, Kuantan, Pahang hari ini.
Menurut sumber, Ismail Sabri dijangka menghadap Al-Sultan Abdullah pada jam 11 pagi ini bagi mempersembahkan nama barisan Ahli Parlimen dan nama individu bakal menjadi anggota Jemaah Menterinya kelak.
“Ya. Perdana Menteri sudah berada di Istana Abdulaziz sekarang untuk mempersembahkan senarai nama anggota Kabinet baharu kepada Al-Sultan Abdullah.
“Jika semua berjalan lancar Perdana Menteri dijangka mengumumkan senarai anggota Kabinetnya sama ada petang ini atau esok,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Sebelum ini, Perdana Menteri berkata, senarai jemaah menteri Kabinet akan diumumkan minggu ini juga selepas beliau mengangkat sumpah jawatan Perdana Menteri pada Sabtu lalu.
Untuk rekod, senarai jemaah menteri akan dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong untuk mendapat perkenan terlebih dahulu sebelum diumumkan.