26 OGOS : Rangka lawatan Naib Presiden Amerika Syarikat (AS), Kamala Harris ditangguhkan selama beberapa jam selepas kedutaan AS di Hanoi melaporkan penyakit misteri menimpa diplomat negara itu dikenali sebagai ‘sindrom Havana’.
Amerika Syarikat tidak menolak kemungkinan serangan yang menyebabkan sakit kepala teruk, mual dan kemungkinan kerosakan otak adalah disebabkan menggunakan alat elektronik.
Namun, Harris kemudian meneruskan lawatannya ke Hanoi dan Jabatan Negara AS memberitahu pihaknya sedang menyiasat kes yang disifatkan sebagai ‘insiden kesihatan yang tidak normal’ atau AHI.
Selepas insiden di Hanoi, bekas pegawai operasi Agensi Perisikan Pusat (CIA), Marc Polymeropoulos, yang turut pernah menjadi mangsa serangan simptom itu di Moscow pada 2017 berkata jumlah serangan penyakit misteri itu dilihat makin meningkat.
Sindrom Havana ini merupakan kes terbaharu daripada puluhan kes yang dilaporkan diplomat dan pegawai perisik AS sejak 2016 yang pertama kali ia berlaku di Cuba, kemudian di China, Jerman, Australia, Taiwan dan Washington.
Majalah New York pada bulan lalu melaporkan terdapat puluhan kes membabitkan pegawai AS di Vienna, Austria sejak awal tahun ini.
Sehubungan itu, pemeriksaan perubatan secara meluas dijalankan ke atas pegawai AS yang menuju ke luar negara secara lebih terperinci dalam mendepani sebarang serangan yang mungkin berlaku pada masa depan.
Bagaimanapun, jumlah laporan yang diterima berhubung insiden itu dalam kalangan pegawai AS tidak didedahkan.