26 OGOS : Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) tidak lagi memberikan tauliah kepada individu berstatus ahli politik untuk mengajar agama di masjid dan juga surau di negeri Selangor.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, keputusan itu dibuat oleh Jawatankuasa Tauliah Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) pada 6 April 2021.
“MAIS pada 6 April lalu telah memutuskan mana-mana ahli politik yang mempunyai tauliah mengajar dan masih berkuat kuasa dikekalkan sehingga tamat tempoh sah tauliah.
“Bagaimanapun, ia mestilah dengan syarat individu terbabit menyampaikan ceramah tanpa menyentuh isu kepartian, mengaitkan individu tertentu, menyebar fitnah serta menjaga akhlak dan kemuliaan masjid dan surau,” katanya.
Amirudin berkata demikian dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor hari ini bagi menjawab pertanyaan Syamsul Firdaus Mohamed Supri (PKR-Taman Medan) berhubung status ahli politik yang diberi tauliah mengajar agama.
Setakat ini menurut Amirudin, seramai 31 ahli politik yang masih memegang tauliah mengajar agama dan sah sehingga tamat tempoh ditetapkan.