26 OGOS: Jabatan Imigresen (JIM) menumpaskan satu sindiket pemalsuan dokumen perjalanan yang penahanan tiga warga Pakistan dalam satu operasi khas di Setapak, Kuala Lumpur dan Seri Kembangan, Selangor pada 16 dan 17 Ogos lalu.
Ketua Pengarah Imigresen Datuk Khairul Dzaimee Daud berkata pihaknya melakukan risikan selama tiga bulan dan mendapati sindiket itu melakukan pemalsuan dokumen perjalanan seperti visa dan pasport negara asing dengan menggunakan media sosial sebagai medium mencari pelanggan, menetapkan pertemuan serta transaksi lain.
Khairul Dzaimee berkata dua suspek ditahan ketika melakukan transaksi penyerahan dokumen palsu di dalam sebuah kereta di Setapak, manakala seorang lagi disyaki sebagai pembuat dokumen palsu ditahan di sebuah kawasan perumahan mewah di Taman Mesra, Seri Kembangan pada 17 Ogos.
“Kesemua suspek berusia 32 hingga 56 tahun dengan dua daripadanya adalah pemegang Pas Lawatan Sosial yang telah tamat tempoh manakala seorang lagi memiliki Pas Lawatan Sosial Jangka Panjang yang disyaki palsu.
“Siasatan JIM juga mendapati seorang daripada mereka juga pernah diusir dari Kanada pada 2008 atas kesalahan imigresen,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mengulas lanjut, Khairul Dzaimee berkata imigresen juga merampas 2,320 keping dokumen yang disyaki palsu, dua set komputer meja, dua unit mesin pencetak, satu unit mesin lamina, satu unit pembaca pasport, lima keping plat mengecap pelbagai negara, 20 unit pemidang saring sutera pelbagai negara dan satu unit meja pencetak saring sutera dalam operasi terbabit.
Beliau berkata siasatan juga mendapati sindiket berkenaan dikatakan mengenakan kadar bayaran antara RM100 dan RM300 bagi sekeping pelekat Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) palsu manakala bayaran bagi dokumen negara asing seperti visa, lesen memandu, kad pelarian dan pasport ialah antara RM100 hingga RM1,000.
Berikutan itu JIM sudah berhubungan pihak kedutaan negara terbabit mengesahkan bahawa dokumen yang dirampas adalah palsu.
Katanya mereka ditahan kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah Seksyen 55(D) Akta Imigresen 1959/63 iaitu membuat, memalsukan atau meminda suatu pengendorsan atau suatu dokumen untuk digunakan sebagai suatu visa, permit, pas atau kelayakan di bawah akta.
Dalam pada itu, Khairul Dzaimee berkata siasatan JIM juga mendapati sindiket berkenaan berkemahiran menghasilkan pelbagai dokumen palsu negara asing seperti pasport, visa serta lesen memandu.
Beliau berkata dokumen tersebut akan digunakan sebagai satu kelebihan dalam sejarah perjalanan pemegang pasport semasa memohon visa untuk perjalanan ke negara ketiga.
“Sindiket ini memberi fokus kepada negara maju seperti Amerika Syarikat, Kanada dan Jepun kerana visa negara-negara ini mempunyai nilai yang tinggi dan boleh meyakinkan negara ketiga yang ingin dilawati bahawa pemegang pasport adalah pengembara yang kerap melakukan perjalanan ke negara-negara maju di atas,” katanya.
Katanya sindiket itu turut dipercayai menjalankan kegiatan memalsukan pelekat PLKS sejak dua tahun lepas dan kebanyakan pelanggan terdiri daripada pendatang tanpa izin warga Pakistan, Myanmar dan Bangladesh yang bekerja sebagai buruh binaan serta pekerja kedai.
“Sindiket menggunakan aplikasi WhatsApp serta In My Opinion (IMO) sebagai medium untuk mencari pelanggan dan akan berjumpa dengan pelanggan bagi tujuan transaksi,” katanya.