27 OGOS: Bekas Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Dr Abd Latiff Ahmad, menyifatkan pelantikan sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) (Tugas-Tugas Khas) adalah satu penghormatan untuk dirinya dan penduduk Parlimen Mersing diwakilinya.
Berikutan itu, Abd Latiff komited untuk menunaikan amanah dan tanggungjawab berkaitan dengan bersungguh-sungguh demi Keluarga Malaysia yang tercinta.
“Saya percaya amanah ini adalah satu penghormatan buat diri saya dan juga Parlimen Mersing yang saya wakili.
Saya berjanji akan menunaikan amanah dan tanggungjawab ini dengan bersungguh-sungguh demi Keluarga Malaysia yang tercinta.
“Semoga Allah memudahkan urusan seluruh kabinet dibawah kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob,” katanya dalam satu kenyataan menerusi akaun Facebooknya hari ini.
Terdahulu, Abd Latiff berkata beliau menjunjung kasih atas limpah perkenan Yang Di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah atas perkenan baginda melantik saya sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-tugas Khas) bersama timbalannya, Datuk Mastura Mohd Yazid.
Beliau juga mengucapan terima kasih kepada Perdana Menteri atas kepercayaan yang diberi pada dirinya.
Sementara itu, Naib Presiden PAS, Idris Ahmad, pula beliau tidak menyangka akan dilantik sebagai Menteri di JPM (Hal Ehwal Agama) dalam pembentukan Kabinet baharu diumumkan oleh Perdana Menteri hari ini.
Idris, 58, dilantik sebagai Menteri di JPM bagi menggantikan Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri seperti diumumkan Perdana Menteri hari ini.
Berikutan itu Ahmad menegaskan beliau berusaha melaksanakan tugas dengan baik atas kepercayaan diberikan dengan cemerlang seperti dilakukan Dr Zulkifli sebelum ini.
“Insya-Allah, saya akan buat yang terbaik dan akan memberi kerjasama (kepada semua pihak) serta akan jumpa (semua) agensi di bawah kementerian (apabila memulakan tugas nanti).
“Mohon doakan saya dapat melakukan tugas dengan integriti dan mempunyai kesungguhan dalam melaksanakan tugas,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.