Annuar mahu rangka hala tuju baharu KKMM
27 OGOS: Tan Sri Annuar Musa komited untuk merangka hala tuju baharu Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) ke arah lebih proaktif dan menyumbang kepada kemakmuran negara supaya seluruh Keluarga Malaysia memperoleh manfaatnya.
Berikutan itu Ahli Parlimen Ketereh berkenaan akan berusaha sedaya upaya bagi memikul tugas dan amanah yang diberikan ini sebaik mungkin.
“Saya juga berharap akan mendapat kerjasama penuh daripada seluruh saf pegawai dan keluarga KKMM serta agensi-agensi di bawahnya.
“Semoga Allah SWT mempermudahkan segala urusan dan kita dapat bekerjasama dalam satu saf yang tersusun di bawah kepimpinan Perdana Menteri ke-9, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Terdahulu, Annuar menjunjung kasih ke atas limpah perkenan Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang berkenaan melantiknya sebagai Menteri KKMM baharu.
“Saya juga mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih atas kepercayaan Perdana Menteri, yang memilih saya menganggotai kabinet beliau.
“Kepercayaan dan amanah yang diberikan ini adalah satu penghormatan yang amat besar buat diri saya, rakyat di Parlimen Ketereh dan juga kepada UMNO & Barisan Nasional yang saya wakili,” katanya.
Berikutan itu, Annuar berkata komited untuk merangka hala tuju KKMM supaya lebih proaktif dan menyumbang kepada kemakmuran negara supaya seluruh Keluarga Malaysia memperoleh manfaatnya.
Beliau berkata tindakan itu perlu kerana beliau menyedari KKMM mempunyai peranan yang sangat penting, lebih-lebih lagi ketika negara berhadapan dengan pelbagai cabaran seperti pandemik COVID-19 dan pemulihan ekonomi, keperluan pemerkasaan sektor digital di samping pembelaan kehidupan rakyat.