27 OGOS : Ahli Parlimen Pengerang, Datuk Seri Azalina Othman Said komited akan memberi sumbangan dan sokongan terhadap inisiatif pembaharuan dalam memperkasa fungsi Parlimen serta badan kehakiman negara oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Bekas Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat itu menyambut baik komitmen Perdana Menteri dan pihak pembangkang bagi memperkasa fungsi Parlimen serta kepentingan kebebasan badan kehakiman di samping reformasi institusi dan tatakelola Kerajaan yang baik seperti yang dinyatakan pada 25 Ogos 2021.
“Saya berharap, Prinsip Raja Berperlembagaan dan Demokrasi Berparlimen akan terus menjadi ‘obor’ dan panduan kepada pihak Kerajaan dan semua Ahli-ahli Parlimen, tidak kira sama ada dari Blok Kerajaan, Pembangkang atau Bebas.
“Saya selaku Ahli Parlimen Pengerang akan terus memberi khidmat yang terbaik kepada masyarakat Parlimen Pengerang dan akan terus membawa suara rakyat di dalam Dewan Rakyat,” katanya menerusi hantaran di Facebook miliknya, hari ini.
Dalam pada itu, Azalina merakamkan ucapan tahniah kepada barisan Jemaah Menteri baharu dan berharap rakyat terus dijadikan fokus serta paksi terpenting kerajaan dalam usaha memulihkan kehidupan dan ekonomi rakyat.
“Seterusnya mengembalikan kesejahteraan dan keselesaan hidup yang kita semua sebagai rakyat Malaysia pernah kecapi tidak lama dahulu.
“Untuk warga Pengerang, perjuangan kita untuk melawan COVID19 belum berakhir. Marilah kita berganding bahu untuk mengembalikan kesejahteraan rakyat dan memulihkan sektor ekonomi Pengerang.
“Saya doakan agar negara kita kembali pulih dan keluar dari belenggu wabak pandemik serta agar nasib semua rakyat yang terkesan dari COVID-19 ini terus terbela dan diberikan perhatian khusus,”katanya.
Sementara itu, bekas Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah menerusi laman Facebook miliknya juga mengharapkan agar barisan Jemaah Menteri pimpinan Ismail Sabri dapat melakukan yang terbaik demi negara dan rakyat.
Ahli Parlimen Lenggong itu berkata, pembentukan Kabinet baharu Perdana Menteri itu juga adalah harapan yang ditunggu semua pihak.
“Saya pastinya bersyukur kerana UMNO dan Barisan Nasional (BN) kembali menerajui kerajaan dan saya dapat sedikit menyumbang hingga UMNO kembali menerajui serta membentuk kerajaan.
“Justeru, saya merakamkan ucapan tahniah di atas pembentukan barisan Kabinet baharu oleh Perdana Menteri. Tahniah kepada semua. Jaga rakyat kerana ini keutamaannya,” katanya. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH