27 OGOS : Jumlah kes positif baharu COVID-19 dilaporkan Kementerian Kesihatan (KKM), hari ini, mengalami sedikit penurunan 24,599 kes (semalam) kepada 22,070 kes hari ini sekaligus menjadikan kumulatif kesnya 1,662,913 kes sekarang.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham berkata KKM juga melaporkan 21,877 pesakit sembuh hari ini menjadikan jumlah keseluruhan kes pulih ialah 1,381,668 kes atau 83.1 peratus daripada jumlah kumulatif 1,662,913 kes.
Beliau berkata terdapat 265,695 kes COVID-19 masih aktif dalam negara dengan 982 pesakit kini dirawat di ICU termasuk 470 kes memerlukan bantuan pernafasan.
“KKM juga ingin melaporkan bahawa terdapat 339 kes kematian baru dilaporkan akibat COVID-19 di seluruh negara hari ini termasuk 99 kes meninggal dunia di luar hospital (BID).
“Dengan pertambahan itu jumlah kumulatif kes kematian akibat penularan wabak COVID-19 di Malaysia sekarang ialah 15,550 kes tau 0.94 daripada keseluruhan kes di negara ini,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Dalam pada itu, Dr Noor Hisham berkata Selangor kekal menjadi negeri tertinggi yang mencatatkan kes jangkitan terbaharu dengan 5,920 kes, diikuti Sabah (3,010), Sarawak (2,224) dan Kedah (2,072).
Beliau berkata Pulau Pinang pula mencatatkan 1,829 kes baharu, diikuti Johor (1,809), Kuala Lumpur (1,068) dan Kelantan (1,051).
“Daripada 22,070 kes harian yang dilaporkan pada hari ini, sebanyak 412 kes (1.9 peratus) adalah daripada kategori 3, 4 dan 5. Manakala sebanyak 21,658 kes (98.1 peratus) lagi adalah terdiri daripada kategori 1 dan 2.
“Ini adalah berdasarkan keadaan klinikal kes semasa baharu didiagnosa COVID-19. Ada di antara kes kekal di kategori yang sama sepanjang tempoh jangkitan, namun ada juga yang berubah status kesihatan kes sama ada bertambah baik ke kategori lebih rendah atau merosot ke kategori lebih tinggi.
“Malah, secara keseluruhan, 17,029 kes (77.2 peratus) daripada jumlah kes yang dilaporkan pada hari ini tiada atau tidak lengkap vaksinasi,” katanya.
Dr Noor Hisham juga mengesahkan 28 kluster baharu COVID-19 dilaporkan hari dengan 15 daripadanya adalah kluster komuniti, 12 kluster berkaitan tempat kerja dan satu pusat tahanan di seluruh negara hari ini. – Oleh HAIKA KHAZI