27 OGOS: Semua pihak digesa menghormati barisan Kabinet baharu yang telah dipilih oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Justeru, Bekas Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak menegaskan, barisan Jemaah Menteri baharu itu perlu bekerja keras dan menumpukan perhatian menangani krisis kesihatan dan ekonomi bagi memulihkan negara.
“Syabas dan tahniah saya ucapkan kepada semua lantikan Kabinet baharu dan selamat bekerja. Sungguhpun saya mempunyai pandangan sendiri, ianya hak Perdana Menteri, Ismail Sabri yang wajar kita hormati.
“Sekarang Kabinet perlu bekerja dan tumpukan perhatian untuk mengatasi krisis utama COVID-19 dan yang berkaitan. Apabila keadaan stabil, kita serahkan kembali mandat pilihan kepada rakyat,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.
Terdahulu, Perdana Menteri hari ini mengumumkan barisan Kabinet baharu terdiri daripada 31 menteri termasuk empat menteri kanan dan 38 timbalan menteri yang menggabungkan kombinasi muka baharu dan berpengalaman.
Ismail Sabri menjelaskan pengumuman senarai Kabinet berkenaan dibuat selepas mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Naib Presiden UMNO itu juga memberikan tempoh 100 hari kepada 31 menteri dan 38 timbalan menteri untuk membuktikan keupayaan masing-masing.
Berikutan itu, Ismail Sabri menegaskan, beliau secara peribadi akan memastikan Kabinetnya akan menekankan budaya kerja berprestasi tinggi.
Tambah Perdana Menteri, beliau juga akan memastikan barisan Kabinet komited menjayakan agenda negara, melalui jalinan kerjasama rentas parti bagi memacu pemulihan ekonomi demi kesejahteraan rakyat. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH