27 OGOS: Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini mengumumkan barisan Kabinet baharu terdiri daripada 31 menteri termasuk empat menteri kanan dan 38 timbalan menteri yang menggabungkan kombinasi muka baharu dan berpengalaman.
Ismail Sabri menjelaskan pengumuman senarai Kabinet berkenaan dibuat selepas mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Beliau berkata tiga Menteri Kanan dikekalkan portfolio mereka ialah Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang memegang jawatan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri; Datuk Seri Fadillah Yusof sebagai Menteri Kerja Raya dan Datuk Dr Radzi Jidin sebagai Menteri Pendidikan.
Manakala Datuk Seri Hishammuddin Hussein pula yang sebelum ini memegang Menteri Kanan Luar Negeri bertukar portfolio sebagai Menteri Kanan Pertahanan.
Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz pula kekal sebagai Menteri Kewangan; Datuk Seri Hamzah Zainuddin (Menteri Dalam Negeri); Datuk Seri Mustapa Mohamed (Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) dan Datuk Seri Ir Dr Wee Ka Siong (Menteri Pengangkutan)
Manakala, Datuk Seri Panglima Dr. Maximus Johnity Ongkili kekal sebagai Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak); Datuk Seri Dr Ronald Kiandee (Menteri Pertanian dan Industri Makanan); Datuk Alexander Nanta Linggi (Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna).
Selain itu, turut dikekalkan ialan Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man (Menteri Alam Sekitar dan Air); Timbalan Presiden MIC, Datuk Seri M Saravanan (Menteri Sumber Manusia); Datuk Seri Rina Harun (Menteri Wanita, Keluarga dan Masyarakat).
Perdana Menteri juga memutuskan untuk melantik semula Datuk Seri Noraini Ahmad sebagai Menteri Pengajian Tinggi biarpun beliau sebelum ini meletak jawatan dari portfolio berkenaan.
Selain itu turut dikekalkan ialah Datuk Seri Hajah Nancy Shukri sebagai Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan serta Datuk Halimah Mohamed Sadique (Menteri Perpaduan Negara).
Antara pemimpin yang bertukar portfolio ialah Datuk Seri Hishammuddin Hussein yang dilantik sebagai Menteri Kanan Pertahanan (dari Menteri Luar); Tan Sri Annuar Musa menjadi Menteri Komunikasi dan Multimedia (dari Kementerian Wilayah Persekutuan); bekas Menteri Pembangunan Luar Bandar Datuk Dr Abd Latiff Ahmad menjadi Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas).
Bekas Menteri di JPM (Parlimen dan Undang-Undang) pula dilantik sebagai Menteri Tenaga dan Sumber Asli Datuk Seri Takiyuddin Hassan menggantikan tempat Khairy Jamaluddin Abu Bakar pula bertukar portfolio ke Kementerian Kesihatan manakala Datuk Saifuddin Abdullah pula kembali memegang jawatan sebagai Menteri Luar.
Datuk Dr Seri Adham Baba pula mengambil alih tempat Khairy sebagai Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi; Ahli Parlimen Ampang, Datuk Zuraidah Kamaruddin pula dilantik sebagai Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi bagi menggantikan tempat Datuk Dr Khairuddin Aman Razali yang digugurkan dari Kabinet kali ini.
Manakala, Datuk Seri Dr Haji Wan Junaidi Tuanku Jaafar pula mengambil alih tugas Takiyuddin sebelum ini sebagai Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), manakala bekas Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican pula dilantik sebagai Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan.
Selain itu Ismail Sabri juga turut mengumumkan beberapa muka baharu yang kembali menjadi anggota Kabinet termasuklah Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim yang dilantik sebagai Menteri Wilayah Persekutuan.
Ahli Parlimen Tanjung Karang, Tan Sri Noh Omar pula dilantik semula menjadi Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi; manakala Datuk Seri Mahdzir Khalid dilantik sebagai Menteri Pembangunan Luar Bandar.
Naib Presiden PAS, Senator Idris Ahmad, pula dilantik sebagai Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) menggantikan Datuk Seri Dr Zulkifli al-Bakri Mohamad yang tiada dalam senarai Kabinet, manakala Timbalan Presiden BERSATU Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu pula dilantik sebagai Menteri Belia dan Sukan.
Antara muka baharu dilantik sebagai Timbalan Menteri dari Sabah ialah Ahli Parlimen Sipitang, Yamani Hafez Musa dilantik sebagai Timbalan Menteri Kewangan II manakala Ahli Parlimen Kimanis, Datuk Mohamad Alamin sebagai Timbalan Menteri Pendidikan II. – Oleh HAIKA KHAZI