27 OGOS : Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob perlu mengekalkan kestabilan politik dalam gabungan pelbagai fraksi dan parti yang sangat rapuh di dalam kerajaan Perikatan Nasional (PN).
Penganalisis politik dari Universiti Teknologi Mara (UiTM), Mujibu Abd Muis berkata, ini kerana sebarang kemungkinan polemik politik boleh berlaku seperti mana sebelum ini yang menggugat kerajaan, di mana jika perkara ini berlaku lagi sudah pasti akan memberikan kesan terhadap pelaksanaan bantuan rakyat dan pemulihan negara.
Menurut beliau, terdapatnya keperluan bagi barisan pentadbiran Kabinet baharu untuk meneruskan dasar-dasar yang telah atau sedang dilaksanakan sebelumnya oleh Kerajaan PN di bawah pentadbiran Perdana Menteri Kelapan (PM-8), Tan Sri Muhyiddin Yassin.
“Ini bagi memastikan kelicinan proses dan kelancaran pentadbiran, perubahan drastik juga mungkin boleh merencatkan dan mengganggu perjalanan tersebut.
“100 hari merupakan masa yang singkat di mana Menteri mesti menyampaikan dengan mandat yang masih ada cuma tinggal kurang dua tahun sebelum PRU15 perlu dilakukan,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.
Terdahulu, Perdana Menteri hari ini mengumumkan barisan Kabinet baharu terdiri daripada 31 menteri termasuk empat menteri kanan dan 38 timbalan menteri yang menggabungkan kombinasi muka baharu dan berpengalaman selepas mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Naib Presiden UMNO itu juga memberikan tempoh 100 hari kepada 31 menteri dan 38 timbalan menteri untuk membuktikan keupayaan masing-masing.
Dalam pada itu, Mujibu yang juga merupakan Pensyarah Kanan Sains Politik, UiTM memaklumkan barisan mula lama Kabinet pimpinan Ismail Sabri perlu menggunakan peluang kedua ini dengan sebaiknya.
“Perkara ini perlu dilakukan dengan sebaiknya untuk melaksanakan segala usaha pemulihan negara demi kebaikan rakyat keseluruhannya,” – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH