Pengiktirafan untuk rakyat Sawarak – GPS
27 OGOS: Pelantikan lapan wakil Gabungan Parti Sarawak (GPS) dalam barisan Kabinet baharu adalah satu pengiktirafan untuk rakyat di Sarawak.
Ketua Whip GPS, Datuk Seri Fadillah Yusof, menyatakan pelantikan tersebut adalah satu amanah dan tanggungjawab besar, demi rakyat serta negara.
“Saya sedar dan insaf, pada ketika rakyat masih bergelut dengan penularan pandemik COVID-19 dan keadaan ekonomi yang sangat mencabar, rakyat menaruh harapan cukup besar kepada Kabinet baharu ini.
“Seperti ditekankan Perdana Menteri, Kabinet ini adalah pasukan pengurusan yang akan bekerja bersama rakyat, yang perlu bertindak pantas dan bersepadu.
“Fokus kita sekarang adalah untuk memastikan kestabilan politik, menangani pandemik COVID-19 dan pemulihan ekonomi negara, demi kelangsungan ekonomi dan kehidupan rakyat,” kata Ahli Parlimen Petra Jaya itu dalam kenyataan, hari ini.