28 OGOS: Ahli Parlimen Kuala Nerus, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali, bersedia membantu Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi yang baharu, Datuk Zuraida Kamaruddin, untuk terus memperkasakan industri komoditi negara.
Bekas Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi itu, berkata demikian ketika mengucapkan tahniah kepada Zuraida atas pelantikan Ahli Parlimen Ampang itu untuk mengetuai kementerian berkenaan.
“Tahniah YB Datuk Zuraida Kamaruddin atas pelantikan sebagai Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi. Insya-Allah saya bersedia membantu untuk terus memperkasakan industri komoditi negara.
“Semoga pelantikan ini menambah satu lagi sinar untuk kecemerlangan pencapaian Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya hari ini.
Mohd Khairuddin yang juga Ahli Parlimen Kuala Nerus mengetuai kementerian itu ketika pentadbiran kerajaan Perikatan Nasional (PN) di bawah pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Sebelum ini media melaporkan nama Khiruddin yang juga Setiausaha Majlis Syura Ulama (MSU) digugurkan di saat akhir oleh PAS daripada dilantik sebagai menteri dalam senarai anggota Kabinet yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob semalam dipercayai kerana sabotaj dalaman parti.
Kuota PAS kekal dengan tiga menteri dan lima timbalan menteri, namun, portfolio milik PAS telah bertukar dari KPPK kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) apabila Naib Presiden PAS, Senator Idris Ahmad dilantik menggantikan Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri, yang digugurkan daripada senarai Kabinet kali ini.
Ketua Dewan Ulama Pas, Dr. Nik Muhammad Zawawi Salleh sebagai Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan II.
Antara menteri dan timbalan menteri PAS yang masih kekal ialah Timbalan Presiden, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man (Menteri Alam Sekitar dan Air); Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Ahmad Marzuk Shaary.
Manakala, Timbalan Menteri Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat, Datuk Siti Zailah Mohd. Yusoff; Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Awang Hashim dan Timbalan Menteri Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Amzad Mohamed @ Hashim.