28 OGOS: Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar dan kementeriannya akan diberikan tanggungjawab sepenuhnya dalam semua urusan berkaitan vaksinasi dan strategi kesihatan awam untuk menangani pandemik COVID-19.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) pula yang kini diterajui bekas Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba, akan memfokus kepada penyelidikan dan pembangunan (R&D) untuk menghasilkan vaksin wabak berkenaan.
“Jika dahulu ada dua kementerian berkaitan (COVID-19) iaitu KKM dan MOSTI selain ada jawatankuasa yang dipengerusikan oleh dua menteri, dua Ketua Setiausaha (KSU) dan dua Ketua Pengarah.
“Agak sukar kalau masih dua kerana mungkin berbeza pandangan dan sebagainya. MOSTI akan fokus mengeluarkan vaksin sendiri kerana jika Thailand boleh mengumumkan akan keluarkan vaksin sendiri, Malaysia juga boleh mengeluarkan vaksin.
“COVID-19 akan menjadi endemik dan berada di persekitaran kita seperti denggi menyebabkan vaksin masih diperlukan.
“Oleh itu, MOSTI kena fokus supaya kita tidak bergantung kepada negara luar kerana apabila kes bertambah dan kita masih bergantung bekalan vaksin dari luar, itu akan menyebabkan bekalan agak terjejas.
“Jika kita boleh keluarkan vaksin sendiri keadaan akan berbeza,” katanya pada sidang media selepas menyaksikan Eksesais Para Predator Siri 1/2021 di Kampung Batu Bor di Bera, Pahang hari ini.
Program eksesais itu membabitkan hampir 1,900 pegawai dan anggota pelbagai elemen dan latihan berskala besar selama dua minggu yang bermula Selasa lalu.
Ia adalah satu daripada eksesais dilaksanakan oleh Tentera Darat Malaysia (TDM) melalui 10 Bridged (PARA) yang berpangkalan di Kem Terendak, Melaka.
Mengenai perkembangan vaksinasi, Ismail Sabri berkata, Ketua Pengarah KKM, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, sudah dimaklumkan supaya kilang terutama yang mempunyai ramai pekerja asing, dibenar untuk mewujudkan pusat pemberian vaksin (PPV) dalam kilang.
Dalam pada itu, Perdana Menteri berkata, ia bagi mengelak kesesakan sebagaimana di PPV Stadium Nasional Bukit Jalil, tempoh hari.
Katanya, kesesakan berkenaan yang turut tular di media sosial menimbulkan kebimbangan berlaku penularan wabak itu kepada individu yang sedang beratur untuk menerima vaksin, memandangkan aspek penjarakan fizikal tidak dipatuhi.
“Kita harap kilang-kilang boleh membeli vaksin sendiri kerana ia lebih cepat. Kita telah memaklumkan mana-mana kilang dengan 80 peratus pekerja telah lengkap dua dos vaksin boleh kembali beroperasi.
“Saya percaya harga vaksin ini tidak semahal jika dibandingkan dengan kerugian dialami kalau kilang terus ditutup,” katanya.
Perdana Menteri turut meminta Dr Noor Hisham memperbanyakkan PPV pandu lalu, mengambil kira kaedah berkenaan lebih mudah, tidak memerlukan kos yang tinggi untuk dilaksanakan selain penerima vaksin tidak perlu beratur bersama individu lain