28 OGOS : Malaysia menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa yang terbunuh dan cedera dalam serangan bom di Lapangan Terbang Hamid Karzai di Kabul Afghanistan semalam.
Kementerian Luar Negeri menerusi satu kenyataan menegaskan, Malaysia mengecam keras serangan bom tersebut dan menyifatkan serangan itu hanya memburukkan lagi keadaan yang sedia genting di negara tersebut.
“Situasi keselamatan di Afghanistan berada dalam keadaan tahap yang membimbangkan.
“Justeru Malaysia menggesa semua pihak berkaitan memberi fokus penuh terhadap aspek keselamatan dan perlindungan orang awam, termasuk mereka yang berhasrat meninggalkan negara itu,” kata kenyataan itu.
Kementerian Luar Negeri berkata, Malaysia memuji peranan yang dimainkan organisasi dan masyarakat antarabangsa dalam memastikan bantuan kemanusiaan dihulurkan kepada individu memerlukan di Afghanistan.
“Malaysia akan terus menyokong usaha mencari jalan perdamaian dan penyelesaian untuk tempoh panjang demi kepentingan Afghanistan serta rakyatnya,” kata kenyataan itu lagi.
Media semalam melaporkan puluhan maut termasuk 13 tentera Amerika Syarikat (AS) dalam serangan bom nekad ke atas orang ramai yang berasak di luar lapangan terbang di Kabul untuk meninggalkan Afghanistan.
Dua letupan dalam insiden berkenaan telah mengorbankan antara 13 hingga 20 orang dan dijangka angka korban berkemungkinan boleh mencecah hingga 60 mangsa.
Kumpulan IS dilaporkan mengaku bertanggungjawab atas serangan itu, sekali gus meningkatkan lagi situasi genting dalam proses pemindahan keluar dari Afghanistan.