28 OGOS: Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz, hari ini mengumumkan persaraannya dari arena politik dan tidak akan mempertahankan kerusi Parlimen Padang Rengas, yang dimenangi selama enam penggal berturut-turut pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) nanti.
Mohamed Nazri yang mengetuai pelbagai kementerian sewaktu pentadbiran Tun Dr Mahathir Mohamad, Tun Abdullah Ahmad Badawi dan Datuk Seri Najib Razak, berkata keputusan itu dibuat bagi membolehkan ‘reset’ politik berlaku, sekali gus memberi laluan kepada pemimpin baharu.
“Saya harap ini juga mesej untuk ahli politik angkatan lama supaya sedar bahawa sekarang teraju politik sudah sampai ke tangan angkatan baharu.
“Kita memerlukan kesinambungan, kita tak boleh menongkat langit, sampai satu masa kita kena serah kepada generasi baharu.
“Saya jadi Ketua UMNO Bahagian hampir 20 tahun. Ahli Parlimen sejak 1995 dan dilantik timbalan menteri. Sebelum itu saya jadi Senator pada 1991. Kemudian jadi menteri sejak 1999.
“Sudah sampai masanya (bersara), sebelum orang tunjuk pintu keluar baik kita keluar sendiri,” katanya kepada BH, hari ini.
Mohamed Nazri adalah antara Ahli Parlimen UMNO yang lantang mempertahankan kerajaan Perikatan Nasional (PN) dan kerap mengkritik Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dalam isu menarik balik sokongan kepada PN dan Tan Sri Muhyiddin Yassin.