28 OGOS: PAS berpuas hati dengan pelantikan tujuh pemimpinnya sebagai anggota Kabinet baharu yang disifatkan bersesuaian dengan portfolio.
Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Takiyuddin Hassan, berkata, PAS juga menyambut baik tindakan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, melantik Naib Presidennya, Senator Idris Ahmad sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama).
“Dengan perlantikan itu, kita agak berpuas hati terutama apabila portfolio hal ehwal Islam diberikan kepada PAS dan kita amat mengalu-alukannya.
“Kita boleh menyumbang ke arah pembangunan Islam kerana ada pengalaman di negeri seperti Kelantan, Terengganu serta Kedah dan portfolio itu kita rasakan amat sesuai malah boleh berperanan sebaiknya.
“Begitu juga dengan yang lain malah beberapa portfolio sahaja yang bertukar dan kita berpuas hati,” katanya pada sidang media di Pejabat Khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Bharu, Kelantan, hari ini.
Dalam pembentukan Kabinet baharu diumumkan semalam, Takiyuddin bertukar portfolio dari Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) kepada Menteri Tenaga dan Sumber Asli, manakala Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man dilantik semula sebagai Menteri Alam Sekitar dan Air.
Ketua Dewan Ulama PAS, Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh pula dilantik sebagai Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Ahmad Marzuk Shaary (Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri-Hal Ehwal Agama) dan Datuk Siti Zailah Mohd Yusoff (Timbalan Menteri Wanita, Keluarga dan Masyarakat).
Turut dilantik Datuk Ahmad Amzad Mohamed @ Hashim (Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi) dan Datuk Awang Hashim (Timbalan Menteri Sumber Manusia).
Mengulas konsep Keluarga Malaysia diperkenalkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, Takiyuddin berkata, terpulang kepada kerajaan hari ini untuk menggunakan sebarang frasa asalkan tidak bercanggah dengan dasar.
“Apa pun ingin namakan, itu tidak penting cuma dalam konteks Keluarga Malaysia ini, saya rasa ia bukanlah nama kerajaan tapi penekanan yang mana kalau masa dulu ada 1Malaysia dan itu slogan kepada negara untuk kerajaan pada masa itu.
“Sekarang Kerajaan Persekutuan slogannya adalah Keluarga Malaysia yang ada konsepnya tersendiri.
“Bagi PAS, selagi perkara itu tidak bercanggah dengan dasar kita dari segi agama, tiada masalah,” katanya.