28 OGOS: Kerajaan Sarawak tidak mempunyai masalah dengan barisan Kabinet Persekutuan baharu yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob semalam.
Malah, Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg, berkata kerajaan negeri berterima kasih kerana wakil rakyatnya dilantik semula sebagai menteri dan timbalan menteri di dalam Kabinet.
“Apa yang penting bagi Sarawak ialah adanya sebuah kerajaan yang stabil bagi meneruskan usaha melawan Covid-19 melalui Program Imunisasi Kebangsaan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas melancarkan Akademi Minyak dan Gas dan Akademi Nipah dan Pertanian Pusat Kecemerlangan Teknikal (Centex) Kampus Mukah di Mukah, Sarawak, hari ini.
Terdahulu, Perdana Menteri mengumumkan senarai barisan ‘Kabinet Berorientasikan Hasil’ membabitkan 31 menteri termasuk empat menteri kanan yang akan menjadi pasukan pengurusan yang bekerja bersama rakyat.
Daripada jumlah itu empat menteri dan enam timbalan menteri adalah dari Sarawak dilantik menyertai Kabinet.
Dalam pada itu, Abang Johari turut mengucapkan tahniah kepada jaguh powerlifting negara, Bonnie Bunyau Gustin, yang menjadi atlet negara pertama meraih pingat emas pada Sukan Paralimpik dalam kategori 72 kilogram (kg) hari ini.
“Kita (kerajaan negeri Sarawak) akan beri insentif (pada Bonnie) tetapi jumlahnya akan ditentukan, selain itu kerajaan Malaysia juga ada menyediakan insentif untuk para atlet negara,” katanya.