29 OGOS: Cadangan Persatuan Perusahaan Kecil dan Sederhana (SAMENTA) bagi memperkenalkan semula Cukai barang dan perkhidmatan (GST) pada kadar empat peratus adalah tidak sesuai pada saat rakyat sedang menghadapi wabak COVID-19.
Ketua Penerangan UMNO, Shahril Hamdan berkata, beliau tidak setuju jika ia digantikan ketika ini walaupun dengan kadar lebih rendah dari cukai jualan dan perkhidmatan (SST),
“Benar, GST ialah cukai lebih telus dan membantu perniagaan SME untuk “claim” cukai input tetapi dengan pengenalan GST juga, kos akan diturunkan ke pengguna. Kalau GST tidak dimansuhkan dahulu, isu ini tak berbangkit.
“Namun, apabila telah dimansuh, kemudian perkenal semula, akan ada kesan kos peralihan yang mampu memberi kesan kepada pengguna. Masanya tidak sesuai,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.
Mengulas lanjut, beliau memaklumkan intervensi tidak boleh mencederakan tahap kepenggunaaan pada ketika belanja pengguna masih rendah berbanding sebelum COVID-19.
“Bukan sahaja ia akan merencatkan perbelanjaan oleh pengguna malah tidak akan menambah hasil yang signifikan kepada Kerajaan. Setelah ekonomi pulih, barulah sesuai kita melihat semula pelaksanaan GST,” katanya.
Terdahulu, selain menyarankan cukai GST diperkenalkan semua SAMENTA memberikan beberapa cadangan bagi membantu aliran tunai perusahaan kecil dan sederhana (PKS) iaitu pengurangan cukai korporat untuk tahun taksiran 2021 dan 2022 serta pengecualian dan pengurangan bayaran ke HRDF.
Dalam pada itu, Shahril menyambut baik cadangan bahawa pemulihan ekonomi tidak boleh tertumpu 100% kepada bantuan kewangan kepada pengguna tanpa intervensi sesuai kepada usahawan dan PKS.
“Cadangan lain dari SAMENTA boleh dipertimbangkan, seperti cadangan pengurangan sumbangan levi HRDF. Tahap kewangan agensi tersebut dilihat masih baik dengan dana dari Kerajaan disamping sumbangan dari syarikat lebih besar yang mencatat keuntungan.
Di samping itu, beberapa usaha lain yang saya pernah catit untuk pertimbangan iaitu langkah yang mampu meningkatkan pinjaman dari institusi kewangan pembangunan (DFI) kepada PKS.
“Selain itu, Bank Negara (BNM) salurkan dana kepada bank komersial pada kos sifar, dengan syarat dana itu disalurkan dalam bentuk pinjaman kepada PKS. Jika tiada jalan lain) suntikan modal ke dalam PKS sepertimana Danaharta dahulu.
“Selagi langkah itu boleh membantu aliran tunai PKS, ia wajar diperhalusi kerana bank komersial hari ini dilihat tidak bersedia memanjangkan kredit kepada SME,” katanya. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH