29 OGOS: Barisan kabinet yang dibentuk oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri merupakan kerajaan komponen parti yang sama ketika Perikatan Nasional mentadbir negara sebelum ini di bawah pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Justeru, Penganalisis politik dari Universiti Malaya (UM), Dr Mohamad Tawfik Yaakub menegaskan dakwaan pembangkang terhadap kerajaan pimpinan Ismail Sabri sebagai Kabinet ‘kitar semula’ adalah tidak tepat.
Menurut beliau, pengekalan muka lama dalam kabinet baharu bagi meneruskan perkhidmatan adalah atas kapasiti prestasi, pengalaman dan kekananan mereka dalam parti komponen yang membentuk kerajaan Keluarga Malaysia.
“Jika pihak-pihak tidak bertanggungjawab ingin terus menuduh kerajaan ini kitar semula, mereka sepatutnya juga melihat dari pelbagai segmen lain termasuklah pembangkang,” katanya kepada media, hari ini.
Dalam pada itu, Mohamad Tawfik seharusnya pembangkang mencerminkan diri mereka dulu yang masih lagi sehingga mengiktiraf Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai ketua pembangkang.
“Bagaimana kita lihat berkali-kali Datuk Seri Anwar Ibrahim dilantik sebagai Ketua Pembangkang, beliau juga adalah ‘Ketua Pembangkang kitar semula’.
“Tun Mahathir pada 2018 juga dilantik kali kedua sebagai Perdana Menteri, beliau juga boleh kita label sebagai ‘Perdana Menteri kitar semula’ sedangkan lebih ramai calon-calon baharu dari PH ketika itu boleh diangkat sebagai Perdana Menteri.
“Namun, kenapa masih lagi Tun Mahathir. Inilah yang dikatakan prestasi, kemampuan pengalaman dan strategi politik,” katanya
Pada masa sama, beliau turut menasihatkan rakyat agar tidak terperangkap dengan permainan politik dan pelabelan imej politik keterlaluan yang tidak bertanggungjawab.
Mohamad Tawfik berkata sekarang masa untuk melihat kepada kemampuan prestasi, kemampuan mengurus pandemik, kestabilan politik dan keharmonian negara yang boleh diwujudkan.
“Saya merumuskan, dalam pembentukan kabinet elemen-elemen prestasi, pengalaman dan kestabilan politik adalah indikator penting dalam pemilihan menteri.
“Bukan mengikut nafsu kepuasan hati sebilangan individu atau pihak yang suka melihat ketidakstabilan politik berlaku di negara ini,” katanya.