29 OGOS: Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Datuk Seri Lajim Ukin meninggal dunia kira-kira 6.23 pagi tadi selepas ‘ditidurkan’ sejak 24 Ogos yang lalu.
Perkara memilukan itu dikongsikan oleh Pengarah Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) Sabah, Samin Ongki menerusi Facebooknya hari ini.
Menurut beliau, Lajim yang juga Pengerusi Eksekutif Amanah Ikthiar Malaysia (AIM) meninggal di Hospital Pakar KPJ Sabah selepas dijangkiti COVID-19 pada 12 Ogos yang lalu.
“Jenazahnya akan dibawa balik ke Kampung Kabatu Beaufort untuk pengebumian yang diuruskan oleh Kementerian Kesihatan (KKM),” katanya.
Untuk rekod, Lajim, 66 menghidap penyakit kronik termasuk penyakit jantung dan buah pinggang.
Beliau mula ‘ditidurkan’ apabila keadaan kesihatannya semakin merosot.