29 OGOS: Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar tidak pernah mengeluarkan sebarang kenyataan seperti mana yang disebarkan dalam gambar yang tular dalam media sosial.
Perkara itu disahkan baginda menerusi laman Facebook rasmi Sultan Johor yang menyatakan kenyataan dalam gambar tersebut adalah palsu dan disebarkan oleh mereka yang tidak bertanggungjawab.
Baginda bertitah bahawa segala kenyataan atau laporan berita berkaitan dengan baginda atau keluarga diraja Johor hanya akan dikeluarkan oleh Royal Press Office (Pejabat Media dan Komunikasi Keluarga DiRaja Johor) dalam laman sosial rasmi.
“Rakyat diminta tidak mudah terpengaruh dengan sebarang kenyataan atau berita palsu yang disebarkan di dalam media sosial,” titah baginda, hari ini.
Kenyataan itu mulai tular sejak malam tadi yang menyatakan Sultan Johor kononnya menyeru Kerajaan UMNO perlu berhenti memperdayakan rakyat Malaysia dengan segala alasan dan tipu helah.