30 OGOS: Seramai 68 anggota Kabinet baharu iaitu 31 Menteri dan 37 Timbalan menteri akan mengangkat sumpah jawatan di hadapan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara, hari ini.
Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah turut dijangka berangkat pada Istiadat Pengurniaan Surat Cara Pelantikan dan Istiadat Mengangkat Sumpah Jawatan dan Setia serta Sumpah Rahsia itu.
Istiadat yang dijadualkan bermula pukul 2.30 petang itu turut hadir ialah Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat, dan Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali.
Bagaimanapun, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Timbalan Menteri Pendidikan II, Datuk Mohamad Alamin tidak dapat hadir kerana menjalini kuarantin.
Ismail Sabri menjalani kuarantin kendiri kerana menjadi kontak rapat, manakala Mohamad pula sedang menjalani rawatan di sebuah hospital di Kuala Lumpur, selepas disahkan positif COVID-19.
Istiadat mengangkat sumpah jawatan menteri Kabinet baharu dimulakan dengan pengurniaan surat cara lantikan kepada beberapa Jemaah Menteri, didahului Datuk Seri Mohamed Azmin Ali; Datuk Seri Hishammuddin Hussein; Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abd Aziz; Datuk Seri Fadhillah Yusof; Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin; Datuk Seri Wee Ka Siong dan Datuk M Saravanan
Menteri berkenaan kemudian mengangkat sumpah jawatan dan setia serta sumpah rahsia di hadapan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara di sini, hari ini.