30 OGOS : Barisan Kabinet baharu pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob adalah kesinambungan daripada barisan Jemaah Menteri kerajaan Perikatan Nasional (PN) pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, walaupun Kabinet baharu itu dikatakan sebagai kitar semula, namun hakikatnya ia adalah laksana mata rantai yang bersambung daripada gabungan parti yang sama.
Menurut beliau, gabungan parti yang gagal dipecahkan dengan ketukan dindingnya yang kuat dan gagal dicuri Ahli Parlimennya oleh mereka yang menebuk atap.
“Pertukaran kerajaan PN gagal dijatuhkan melalui cara tebuk atap oleh Pakatan Harapan (PH) dan gerombolannya yang terus-menerus berpolitiking ketika rakyat dalam kecemasan menghadapi COVID-19 dan kesannya terhadap kehidupan mereka.
“Jangan dipedulikan tuduhan yang ditujukan terhadap kerajaan PN, kononnya telah gagal mengatasi wabak dan bencana yang menjadi ketentuan Allah SWT kepada seluruh dunia ini.
“Ini kerana kemampuan kita sekadar berikhtiar untuk mengatasi masalah rakyat yang sudah menunjukkan tanda-tanda positif yang memberangsangkan,” katanya menerusi Minda Presiden di Facebook miliknya, hari ini.
Dalam pada itu, Abdul Hadi memaklumkan
apa dilakukan kerajaan PN sama sekali berbeza daripada kerajaan PH yang tidak menunaikan janji, padahal mereka mampu menunaikannya.
“Lebih-lebih lagi, PH memerintah ketika belum berlaku penularan pandemik COVID-19. Wabak pandemik dihadapi PH ialah wabak politiking berebut jawatan Perdana Menteri sehinggakan jawatan tersebut terpaksa ditinggalkan oleh pemimpinnya, bukan sahaja oleh ahli biasa.
“Di samping itu, kemenangan dicapai PH juga sangat rapuh bersama janji-janji mereka yang tidak boleh ditunaikan. Janji bohong bertujuan menggula-gulakan rakyat semata-mata bagi mencapai kemenangan yang mentah sehingga menyesakkan fikiran pendukungnya,” katanya.
Mengenai tawaran kepada pembangkang sebelum ini, Abdul Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang berkata, awalnya ditolak kerana kerakusan mereka untuk berkuasa semula, tetapi akhirnya menerima walaupun sebahagiannya sudah ditarik.
“Kita mengharapkan tawaran itu dapat memberikan tumpuan kepada aspek untuk menyelesaikan masalah asasi yang terdesak dalam keadaan darurat hari ini.
“Peranan mereka di barisan hadapan juga perlu diberikan perhatian lebih serius dari segi pengorbanan harta dan jiwa raga yang dikorbankan demi menyelamatkan nyawa rakyat dan negara.
“Usaha mencegah penularan wabak pandemik melalui agenda vaksinasi yang disebarkan seluas-luasnya sudah mula menunjukkan tanda awal kejayaan negara kita sehingga ke tahap dunia,” kata beliau.
Tambah beliau, perkara itu boleh memberikan suatu nafas yang segar dan memberangsangkan kepada semua pihak yang terlibat, khususnya barisan hadapan yang menghadapi wabak COVID-19 dan mereka yang bertugas menangani kesan pandemik terhadap kehidupan rakyat dan perjalanan ekonomi negara.
” PH perlu menjadi pembangkang sebagai pembangkang yang menasihat, bukannya menggugat tanggungjawab untuk menyelamatkan rakyat dan negara,” katanya. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH