30 OGOS : Presiden Pertubuhan Doktor-Doktor Islam Malaysia (PERDIM), Datuk Dr. Ahmad Shukri Ismail percaya dan yakin bahawa Malaysia mampu mencapai imuniti kelompok pada Oktober hadapan walaupun menghadapi isu kekurangan vaksin di beberapa buah negeri.
Menurut beliau, isu kekurangan vaksin di beberapa negeri yang termasuk faktor individu yang masih enggan mengambil vaksin sememangnya memberi kesan kepada kerajaan untuk menepati sasaran dalam mencapai imuniti kelompok.
“Tetapi jika vaksin mencukupi, kita boleh mencapai sasaran tersebut. Lagipun kebanyakan kes positif terdiri daripada tahap dua atau tiga.
“Dengan lantikan Khairy Jamaludin yang berpengalaman dalam menguruskan vaksinasi sebagai Menteri Kesihatan baharu, kita berharap Kementerian Kesihatan boleh beroperasi dengan lebih cepat dan cekap selepas ini,” katanya, hari ini.
Setakat kelmarin, jumlah kumulatif untuk pemberian dua dos vaksin menunjukkan Pahang baru sahaja mencapai 50.1 peratus namun enam negeri lain masih di bawah paras 50 peratus iaitu Perak mencatatkan 46.5 peratus, Terengganu (46.2 peratus), Johor (44.9 peratus), Kedah (43.2 peratus), Kelantan (43.1 peratus) dan Sabah (37.1 peratus).
Sementara itu, Presiden Persatuan Perubatan Kesihatan Awam Malaysia (PPPPK), Datuk Dr. Zainal Ariffin Omar menyarankan agar kerajaan melaksanakan operasi lonjakan kapasiti di Perak, Terengganu, Johor, Kelantan, Kedah dan Sabah bagi meningkatkan lagi kadar peratusan penerima vaksin di negeri tersebut.
Beliau berkata, ini kerana enam negeri tersebut belum melepasi paras 50 peratus kadar vaksinasi untuk dua dos vaksin, malah mencatatkan lebih 1,000 kes positif Covid-19 setiap hari.
“Operasi lonjakan kapasiti seperti yang dilakukan di Lembah Klang wajar dilaksanakan di negeri-negeri tersebut bagi memastikan sasaran imuniti kelompok dapat dicapai Oktober ini.
“Semua negeri perlu ikut polisi dan strategi Pasukan Bertindak Khas atau dikenali sebagai ‘Greater Klang Valley Special Task Force’ (GKV STF).
“Kaji apa masalahnya dan tambah baik. Kalau ada vaksin yang cukup, sasaran boleh dicapai Oktober ini,” katanya.