30 OGOS: Penjaga Dua Masjid Suci, Raja Salman bin Abdulaziz Al Saud mengucapkan tahniah kepada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, sempena Hari Kebangsaan ke-64.
Menurut, Agensi Berita Arab Saudi (SPA), Raja Salman berharap Seri Paduka sentiasa beroleh kesihatan yang baik dan kebahagiaan serta mendoakan kerajaan serta rakyat Malaysia terus maju, makmur dan sejahtera.
Bertemakan ‘Malaysia Prihatin’, sambutan itu akan diadakan di Dataran Pahlawan Negara di Putrajaya, esok.
Sambutan berskala kecil itu, akan dipantau secara berterusan bagi memastikan tahap keselamatan, jumlah peserta dan tetamu dihadkan tanpa kehadiran orang awam, selaras nasihat Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan (KKM).
Siaran langsung sambutan itu bermula jam 8 pagi di semua saluran televisyen tempatan dan melalui Facebook Live Kementerian Komunikasi dan Multimedia, Merdeka 360 dan Jabatan Penerangan.
Empat persembahan utama dijadual berlangsung esok, termasuk persembahan ‘drumline’ Angkatan Tentera Malaysia (ATM), kawad senyap oleh Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), pancaragam gabungan pelbagai agensi beruniform dan persembahan udara Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).