30 OGOS : Bekas Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican merakamkan ucapan tahniah kepada Atlet powerlifting paralimpik negara, Jong Yee Khie yang meraih pingat perak di Kejohanan Sukan Paralimpik Tokyo 2020, hari ini.
Lebih membanggakan, Reezal memaklumkan ini merupakan pencapaian yang amat baik dan beliau yakin Yee Kie cukup berpuas hati kerana dapat melepasi sasarannya untuk menang pingat gangsa di Tokyo 2020.
“Alhamdulillah. Tahniah Jong Yee Kie, atlet powerlifting para yang membawa pulang pingat perak buat negara di temasya Paralimpik Tokyo 2020 kali ini.
“Beliau merupakan atlet di kedudukan ranking kedua dunia berjaya dengan best lift of 237 kilogram meletakkan beliau di tempat kedua terus merangkul pingat perak.
“Terima kasih Yee Kie atas persembahan yang cukup membanggakan. Keluarga Malaysia amat berbangga dengan pencapaian ini,” katanya.
Terdahulu, Reezal Merican yang bertukar portfolio kepada Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob akan mengangkat sumpah di hadapan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah di Istana Negara, jam 2.30 petang ini.
Ahli Parlimen Tambun, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu akan menggantikan tempat Reezal sebagai Menteri Belia dan Sukan.