30 OGOS: Kerajaan perlu merangka prosedur operasi standard (SOP) sebagai rujukan buat majikan bagi mengendalikan isu pekerja yang ingkar mengambil vaksin.
Setiausaha Agung Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), Kamarul Baharin Mansor berkata, SOP itu akan menjadi panduan kepada pekerja dan syarikat dalam mengatasi isu tersebut.
Menurut beliau, kerajaan tidak boleh membiarkan majikan mahupun pekerja melaksanakan perkara itu tanpa panduan daripada kerajaan.
“MTUC menggesa kerajaan mengambil keputusan segera terhadap isu pengambilan vaksin kerana akan memberi kesan kepada pekerjaan dan sosial seperti perceraian atas alasan tidak mengambil vaksin.
“Isu pengambilan vaksin sehingga diberhentikan kerja oleh Tentera Darat Malaysia juga telah menjadi rujukan kepada syarikat swasta untuk mengambil tindakan ke atas pekerja yang ingkar untuk mengambil vaksin.
“Dengan pembukaan ekonomi yang semakin luas, MTUC yakin isu tidak mengambil vaksin akan menjadi perdebatan antara hak kepada individu pekerja dan hak terhadap syarikat,” katanya menerusi kenyataaan, hari ini.
Dalam pada itu, Kamarul memaklumkan pihaknya menerima aduan mengenai tindakan syarikat menjadikan pengambilan vaksin sebagai mandatori untuk pekerja kembali bekerja.
Beliau berkata, syarikat telah mengeluarkan memorandum bagi memaklumkan kewajipan mengambil vaksin sehingga tindakan disiplin dikenakan termasuk pembuangan kerja.
“Syarikat Petronas dan kontraktornya, syarikat mengendalikan pelabuhan di bawah MMC, sektor perhotelan, sektor makanan minuman dan lain-lain industri telah mengeluarkan memorandum supaya pekerja mengambil vaksin sebelum hadir bekerja.
“MTUC mengalakkan dan menasihati pekerja untuk mengambil vaksin bagi kebaikan dan keselesaan semua pihak. Pengambilan vaksin sehingga mencapai 80 peratus imuniti kelompok akan mempercepatkan pembukaan sektor ekonomi dan sosial,” katanya.
Sementara itu, Kamarul berkata, MTUC mengiktiraf kepentingan dan keberkesanan vaksinasi terhadap pekerja yang mengambil vaksin sebagai usaha untuk menjaga diri, keluarga, rakan sekerja dan masyarakat.
Tambah beliau, syarikat perlu peka dan bertimbang rasa kepada pekerja yang tidak mengambil vaksin kerana beberapa faktor yang menghalang mereka daripada mendapatkan vaksin.
“Persoalan bagaimana hendak menguruskan pekerja yang tidak mengambil vaksin adalah isu yang perlu ditangani dengan bijak dan berhemah.
“Oleh kerana kerajaan tidak menjadikan pengambilan vaksin sebagai kewajipan kepada rakyat, maka syarikat tidak boleh menjadikan ingkar mengambil vaksin sebagai alasan yang adil dan wajar untuk memberhentikan pekerja.
“Syarikat tidak boleh menjadikan isu vaksin sebagai sebab atas tindakan disiplin umpama “lebih lajak dari laju” dalam menangani isu vaksin sedangkan kerajaan memberi kelonggaran terhadap kewajipan pengambilan vaksin,” katanya. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH