31 OGOS: Sekurang-kurangnya 13 orang cedera dalam satu letupan di sebuah balai polis di Cucuta, Colombia semalam.
Agensi Anadolu melaporkan, letupan itu disebabkan oleh ‘penjenayah’ yang meninggalkan alat letupan diubah suai (IED) di stesen yang terletak berhampiran sempadan Colombia dengan Venezuela.
“Penjenayah itu meninggalkan alat peledak improvisasi di bawah salah satu kerusi di jalan,” kata Komander Polis Metropolitan Cucuta, Jeneral Oscar Moreno.
Moreno berkata, kejadian terbabit berlaku ketika pertukaran syif anggota di balai polis itu.
“Balai polis berkenaan mengalami kerosakan teruk. Begitu juga anggota yang keluar masuk ketika pertukaran syif kerja yang turut tercedera,” katanya.
Bagaimanapun, Moreno tidak menyalahkan kumpulan jenayah tertentu berhubung insiden serangan berkenaan.
Beberapa organisasi jenayah beroperasi di Cucuta berikutan bandar itu berada di sempadan antara Colombia dan Venezuela, sebuah kawasan yang lama digunakan untuk kegiatan perdagangan dadah dan kegiatan haram lain.
Kejadian itu bukanlah yang pertama berlaku di Cucuta pada tahun ini, sebaliknya Jun lalu, insiden bom kereta di pangkalan tentera di Cucuta mencederakan 44 orang, termasuk tentera Amerika Syarikat (AS) yang berada di situ untuk melatih tentera Colombia.