31 OGOS: Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) mengumumkan firma setiausaha syarikat dibenarkan beroperasi dalam Fasa 1 dan Fasa 2 Pelan Pemulihan Negara (PPN).
SSM menjelaskan kebenaran itu susulan pengumuman kerajaan baru-baru ini bahawa syarikat perkhidmatan profesional dan perundingan dibenarkan beroperasi semasa PPN tertakluk kepada syarat kelulusan pihak berkuasa yang mengawal selia perkhidmatan tersebut.
“Lanjutan pengumuman tersebut, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) telah bersetuju menyenaraikan perkhidmatan setiausaha syarikat di bawah perkhidmatan profesional dan perundingan.
“Ia seterusnya membenarkan firma setiausaha syarikat untuk mengemukakan permohonan beroperasi kepada MITI bagi tujuan menjalankan perkhidmatan kesetiausahaan,” jelasnya dalam satu kenyataan hari ini.
SSM sebagai badan yang mengawal selia setiausaha syarikat di bawah Akta Syarikat 2016 telah diberi tanggungjawab sebagai badan pelulus bagi permohonan kebenaran beroperasi yang dikemukakan oleh firma setiausaha syarikat.
Justeru, ahli kepada badan-badan profesional yang diluluskan di bawah Jadual Keempat Akta Syarikat 2016 boleh mengemukakan permohonan bagi firma kesetiausahaan masing-masing sekiranya berhasrat untuk memulakan operasi di premis perniagaan masing-masing.
Permohonan boleh dihantar melalui COVID-19 Intelligent Management System (CIMS) yang dikendalikan oleh MITI di laman https://notification.miti.gov.my/login.
Panduan mengenai permohonan telah disediakan oleh MITI melalui portal https://www.miti.gov.my/redir/ppn/cims.html.
Firma setiausaha syarikat yang memperoleh kelulusan beroperasi dalam Fasa Satu dan Fasa Dua mengikut PPN dinasihatkan supaya mematuhi syarat yang ditetapkan oleh MITI dan prosedur operasi standard (SOP) yang dikeluarkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dari semasa ke semasa bagi mengekang penyebaran COVID-19.