31 OGOS: Beratus ribu penduduk di 463 kawasan di lima wilayah di Selangor kini menghadapi masalah gangguan bekalan air tidak berjadual berikutan Loji Rawatan Air Sungai Semenyih (LRA Sg. Semenyih) terpaksa dihenti tugas selepas berlaku pencemaran bau.
Difahamkan gangguan berkenaan membabitkan 172 kawasan di daerah Petaling, Hulu Langat (54 kawasan), Sepang (194 kawasan), Putrajaya (23 kawasan) dan Kuala Langat (20 kawasan).
Ketua Komunikasi Korporat Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) Elina Baseri berkata pencemaran bau yang telah dikesan membabitkan Stesen Pam Air Mentah Jenderam Hilir pada jam 11.10 pagi tadi.
“Air Selangor sedang bekerjasama dengan Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) bagi mengenalpasti punca pencemaran air mentah di sepanjang Sungai Semenyih dan anak-anak sungai di sekitar Sungai Semenyih.
“Berikutan henti tugas LRA Sg Semenyih ini, sebanyak 463 kawasan di lima (5) wilayah Air Selangor iaitu Petaling (172 kawasan), Hulu Langat (54 kawasan), Sepang (194 kawasan), Putrajaya (23 kawasan) dan Kuala Langat (20 kawasan) akan mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual,” katanya dalam satu kenyataan.
Mengulas lanjut, Elina berkata pengguna boleh mendapatkan senarai kawasan yang terlibat menerusi laman sesawang Air Selangor di www.airselangor.com serta aplikasi Air Selangor.
Beliau berkata, pihak Air Selangor telah mengaktifkan Pelan Tindakan Kecemasan (ERP) bagi menyediakan bantuan bekalan air kecemasan kepada para pengguna yang terlibat.
“Air Selangor amat memahami situasi para pengguna yang memerlukan air bersih terutama semasa peningkatan kes COVID-19. Air Selangor sedang mengambil segala usaha bagi meminimumkan impak gangguan kepada para pengguna yang terjejas.
“Air Selangor akan memaklumkan perkembangan berkaitan dengan insiden ini dari semasa ke semasa menerusi semua medium khususnya media massa,” katanya.