31 OGOS : Konflik perang antara Amerika Syarikat (AS) dan pejuang Afghanistan selama 20 tahun berakhir apabila tentera AS berundur sepenuhnya dari negara tersebut hari ini.
Berita itu disambut dengan tembakan ke udara oleh pejuang di Kabul awal pagi tadi di mana seorang pegawai kanan Taliban menyifatkan pengunduran tentera AS itu sebagai detik bersejarah dalam perjuangan mereka membebaskan Afghanistan.
Jurucakap Taliban, Zabihullah Mujahid menegaskan, Afghanistan kini merdeka sepenuhnya dengan pengunduran tentera AS.
Minggu lalu, sejumlah rakyat Afghanistan dan 13 anggota tentera AS terbunuh dalam serangan bom di Lapangan Terbang Kabul.
Kumpulan Daesh mengaku bertanggungjawab atas serangan itu dan insiden terbabit dilihat sebagai satu desakan supaya tentera AS segera meninggalkan Kabul.
Presiden AS, Joe Biden memilih 31 Ogos sebagai tarikh akhir pengunduran sepenuhnya tentera negara itu selepas berdepan perang paling panjang mengakibatkan 2,400 tenteranya terkorban.
Pengunduran tentera AS itu menurut Biden bukan saja menandakan berakhirnya operasi perpindahan, tetapi juga berakhirnya misi hampir 20 tahun yang bermula di Afghanistan sejurus selepas 11 September 2001.
Awal bulan ini, Biden mengumumkan AS akan membawa pulang semua tenteranya menjelang 11 September iaitu ulang tahun ke-20 serangan pengganas 9/11 yang mendorong operasi ketenteraan Amerika.