Tidak timbul isu pindaan tarikh sidang Parlimen- Azhar Harun
31 OGOS : Tidak perlu timbulkan isu dan spekulasi berkenaan pindaan tarikh mesyuarat pertama penggal keempat Parlimen ke 14 yang dijadualkan berlangsung pada 3 hingga 5 Ogos ini dianjak ke tarikh 13 September hingga 12 Oktober.
Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun berkata, ini kerana tarikh asal tersebut telah ditetapkan oleh kerajaan lepas di bawah pimpinan Bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin selaku Ketua Majlis Mesyuarat.
“Perdana Menteri Kesembilan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob baharu dilantik dan telah mengangkat sumpah pada 21 Ogos lalu.
“Selain itu, barisan Kabinet baharu sahaja mengangkat sumpah semalam. Bagi saya, tidak perlu timbulkan spekulasi apa-apa pun kerana tarikh (lepas) ditetapkan oleh kerajaan lepas dan ketua majlis mesyuarat yang lepas,” katanya kepada PNBBC ketika dihubungi, hari ini.
Azhar sebelum ini memaklumkan sidang Dewan Rakyat akan berlangsung selama 15 hari bermula 6 September hingga 30 September depan.
Bagaimanapun menerusi notis yang dikeluarkan Setiausaha Dewan Rakyat, Nizam Mydin Bacha Mydin semalam, Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Parlimen ke-14 itu dipinda kepada 13 September hingga 12 Oktober dan akan berlangsung selama 17 hari.
Dalam pada itu, Azhar memaklumkan tambahan dua hari persidangan pada kali ini bagi memberi laluan kepada hal-hal atau usul kerajaan yang perlu diselesaikan pada tambahan hari tersebut. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH