1 SEPT: Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, mengesahkan 99 peratus daripada anggota dan pegawai Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sudah lengkap menerima vaksin COVID-19.
Hishammuddin yang juga Ahli Parlimen Sembrong berkata beliau berbangga dengan peratusan itu kerana pemberian vaksin dalam kalangan keluarga anggota ATM turut menunjukkan angka yang memberangsangkan.
“Saya berasa bangga kerana saya dimaklumkan bahawa anggota ATM yang menerima dos pertama adalah sebanyak 99.86 peratus manakala dos kedua, 99 peratus.
“Ahli keluarga mereka pula, dos pertama sudah merekodkan sebanyak 92.72 peratus dan 88.63 peratus bagi dos kedua,” katanya pada sidang media hari ini.
Hishammuddin berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kadar vaksinasi dalam kalangan warga ATM serta tindakan buang kerja yang dikenakan terhadap seorang anggota kerana enggan divaksinasi.
Mengulas lanjut, Hishammuddin berkata, Tentera Darat Malaysia (TDM) sebelum ini sudah mengeluarkan kenyataan sedia mempertimbangkan untuk menyerap semula anggota yang dipecat jika dia bersedia menerima suntikan vaksin.
“Bagaimanapun, ia terpulang kepada individu terbabit,” katanya.
TDM sebelum ini mengesahkan seorang anggotanya diberhentikan kerja kerana menolak pengambilan vaksin COVID-19.
Menurut kenyataan TDM, ia susulan setiap anggotanya wajib mengambil suntikan itu, terutama sebelum melaksanakan penugasan dan kegagalan berbuat demikian boleh menyebabkan mereka dikenakan tindakan tatatertib kerana ingkar perintah ditetapkan.
Dalam perkembangan berkaitan, Hishammuddin berkata kementeriannya akan menubuhkan sebuah jawatankuasa bertindak bagi mengkoordinasi anggota dan pegawai ATM dalam menjayakan agenda nasional memerangi COVID-19.
Hishammuddin berkata jawatankuasa itu akan diketuai Timbalannya, Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz dan laporan perlu diberikan kepadanya setiap minggu.
“Kementerian Pertahanan dan ketiga-tiga cabang ATM perlu melaporkan tindakan yang sudah dilaksanakan selama lebih setahun ini serta mencadangkan kepada saya apa lagi tindakan susulan yang boleh ditambah baik.
“Ini mengambil kira Pelan Pemulihan Negara (PPN), Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK), Pasukan Bertindak Khas Greater Klang Valley (GKVSTF), selain membantu usaha yang dilaksanakan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN),” katanya.