1 SEPT : Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini berkenan menerima menghadap Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob untuk mesyuarat pra-Kabinet yang pertama menerusi sidang video di Istana Negara.
Istana Negara menerusi kenyataan yang di laman rasmi di Facebook memaklumkan sesi hari ini berlangsung selama 30 minit bermula 8.30 pagi.
“Sesi hari ini juga adalah yang pertama kali bagi Datuk Seri Ismail Sabri sejak beliau dilantik sebagai Perdana Menteri Malaysia kesembilan.
“Mesyuarat pra-Kabinet adalah antara aktiviti mingguan atau rutin utama Al-Sultan Abdullah untuk berbincang dan bertukar pendapat bersama Perdana Menteri berkenaan urusan dan isu-isu berkaitan kerajaan,” menurut kenyataan itu.
Menerusi hantaran tersebut, turut dimuat naik tiga keping gambar menunjukkan Ismail Sabri mengadakan perbincangan bersama Seri Paduka Baginda.