1 SEPT: Walaupun kes jangkitan harian COVID-19 masih menunjukkan jumlah yang tinggi, namun kadar trend kemasukan ke hospital bagi pesakit wabak tersebut telah merekodkan penurunan disebabkan kadar vaksinasi yang tinggi.
Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, ini dibuktikan menerusi trend kemasukan dalam hospital di negeri-negeri yang telah mencapai liputan penerima dos lengkap melebihi 50 peratus seperti Lembah Klang, Negeri Sembilan, Labuan dan Sarawak mencatatkan penurunan.
Pada masa sama, beliau turut mendedahkan Hospital Sungai Buloh juga telah merekodkan penurunan sehingga 53 peratus serta Hospital Tengku Ampuan Rahimah Klang juga menurun sebanyak 43 peratus kemasukan pesakit COVID-19 berbanding pada awal Ogos lalu.
“Sehubungan itu, vaksin COVID-19 yang digunakan menerusi Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) berkesan khususnya dalam mengurangkan risiko komplikasi jangkitan teruk. Dari 16 Julai hingga 31 Ogos, sebanyak 865, 472 kes COVID-19 dilaporkan.
“Daripada jumlah itu, hanya 2.1 peratus adalah kategori dari 3 sehingga 5. Jadi, vaksin adalah sangat bagus dan berkesan walaupun terhadap varian delta yang membimbangkan semua pihak,” katanya menerusi sidang media perkembangan harian COVID-19 di Putrajaya, hari ini.
Dalam pada itu, perkara ini juga dapat dilihat di negara-negara maju lain di mana walaupun meliputi kadar vaksinasi tinggi tetapi kes jangkita harian masih lagi mencapai ribuan kes.
“Di United Kingdom, kes masih 20,000 ke 30,000 kes tetapi yang penting soal kemasukan ke hospital, kadar kematian serta kemasukan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) dan mereka yang menerima bantuan alat pernafasan telah dapat diturunkan.
“Ada yang tanya, apa yang telah terjadi di Sarawak walaupun kadar vaksinasi tinggi. Kalau diikutkan data, 99 peratus daripada jangkitan kes COVID-19 di negeri itu tergolong kepada mereka di kategori 1 dan 2 dan nampaknya masih lagi terkawal,” katanya.
Dalam pada itu, Khairy memaklumkan Kementerian Kesihatan (KKM) akan membekalkan lebih banyak data terperinci berkaitan COVID-19 kepada umum bermula minggu hadapan, bagi meningkatkan lagi ketelusan kementerian itu dalam pemberian maklumat.
“Data berkenaan akan disiarkan secara terbuka supaya orang ramai dapat melihat lebih banyak data, berbanding yang dibekalkan KKM ketika ini.
“Saya sudah buat ketetapan supaya budaya kerja di KKM selepas ini lebih kepada ketelusan supaya soal kepercayaan kepada kerajaan dan maklum balas KKM kepada pandemik ini, tiada lagi tuduhan kerahsiaan atau tembok maklumat yang tidak dapat diperoleh dari kerajaan,” katanya.
Sementara itu, Khairy memaklumkan setiap masyarakat dan semua pihak perlu menerima hakikat bahawa COVID-19 berkemungkinan besar menjadi endemik iaitu kekal dan menjadi sebahagian daripada kehidupan harian dan banyak negara sudah konsiten untuk menggunakan pendekatan norma baharu tersebut.
Menurut beliau, ini akan membolehkan pelbagai sektor kembali dibuka di samping orang ramai kembali menjalani kehidupan seperti biasa dengan pematuhan SOP yang akan diumumkan dalam masa terdekat bagi memastikan ia mudah difahami dan dipraktikkan oleh seluruh rakyat Malaysia.
“Antara tindakan yang perlu dilakukan penggunaan pelitup muka masih akan digunakan dan tiada perancangan untuk melonggarkannya kerana kita berhati-hati kerana tidak mahu kes mendadak semula berdasarkan pengalaman negara lain di samping program imunisasi akan diteruskan dengan lebih giat.
“Amalan kuarantin kendiri di rumah jika telah dikenal pasti di Mysejahtera orang yang berisiko kepada wabak tersebut. Mereka yang lakukan kuarantin kekal di rumah melainkan memerlukan bantuan kecemasan daripada pegawai kesihatan. Kalau tidak patuhi syarat kuarantin di rumah dan kawalan kendiri, kita takkan dapat hidup bersama virus COVID-19 dengan selamat,” katanya. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH