1 SEPT : Dakwaan bekas pegawai tertinggi risikan tentera bahawa pembangkang menerima dana asing bagi survival politik mereka mengundang rasa resah dan gusar di kalangan rakyat di negara ini.
Pensyarah Universiti Malaysia Perlis (UnimAP), Dr Mohd Saifizi Saidon berkata rakyat dan pelbagai pihak berpandangan
mana mungkin sokongan dana oleh pihak asing diberikan tanpa tujuan tertentu.
“Sudah tentu pihak asing yang menyalurkan dana tersebut mempunyai niat tertentu di atas tajaan mereka.
“Mana mungkin sokongan yang diberikan tanpa sebarang habuan bagi pihak penaja,” katanya kepada media, hari ini.
Terdahulu, bekas Ketua Pengarah Perisikan Pertahanan, Left Jeneral (B) Datuk Mohd Salleh Ismail dilapor mendakwa terdapat pemimpin politik Malaysia menerima bantuan dari pertubuhan di luar negara, terutama Amerika Syarikat bagi meneruskan karier politik mereka.
Dakwaan serupa juga didedahkan Penasihat Suara Rakyat Malaysia (SUARAM), Dr Kua Kia Soong yang mendesak Pakatan Harapan (PH) menjelaskan hubungan mereka dengan National Endowment for Democracy (NED).
Beliau mendakwa dana kepada blok pembangkang berlaku sejak sedekad lalu.
Dalam pada itu, Mohd Saifizi memaklumkan sepatutnya setiap pemimpin politik perlu mengambil pendekatan berkecuali dalam berpolitik tanpa dicatur oleh politik Barat atau Timur.
Menurut beliau, jika benar dakwaan terdapat parti politik yang menang dalam pilihanraya adalah dengan tajaan pihak luar menjadi kebimbangan akan berlakunya siri-siri penjajahan baru wujud.
“Kita perlu menginsafi sejarah yang berlaku sebelum ini, apabila sebuah negara menerima bantuan dari luar, boleh mengakibatkan kedaulatan negara itu terancam.
“Seperti tergadainya Singapura apabila kita terpaksa meminta bantuan Britsh untuk menghadapi Siam. Begitu juga seperti apa yang berlaku di Syria dan Yaman.
“Di mana negara terbabit masih diancam peperangan kerana menerima bantuan luar untuk mengurus politik negara sendiri,” katanya.