1 SEPT: Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar, mengesahkan bahawa tarikh Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Parlimen Ke-14, kekal dipinda ke 13 September hingga 12 Oktober depan selama 17 hari.
Wan Junaidi berkata, penangguhan dari tarikh asal 6 September itu antara lain bagi membolehkan barisan Kabinet membuat persediaan terutama mengenal pasti isu-isu yang perlu diutamakan di dalam setiap kementerian.
Beliau berkata tambahan masa selama dua hari turut diberi kepada persidangan berkenaan untuk memberi laluan kepada hal-hal atau usul kerajaan yang perlu diselesaikan.
“Berdasarkan Peraturan Mesyuarat, Perdana Menteri adalah selaku Ketua Majlis Mesyuarat mempunyai budi bicara untuk mengubah tarikh-tarikh yang ditetapkan dari semasa ke semasa mengikut kesesuaian keadaan semasa.
“Tambahan pula, seramai 31 menteri dan 38 timbalan menteri, termasuklah empat menteri kanan, baru sahaja mengangkat sumpah sebagai anggota Kabinet dua hari yang lalu.
“Justeru, mereka memerlukan masa untuk menggalas tanggungjawab serta mengenal pasti isu-isu yang perlu diutamakan di dalam setiap kementerian dengan membuat perancangan jangka masa pendek dan panjang bagi mencapai objektif yang disasarkan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mengulas lanjut, Wan Junaidi berkata pindaan tarikh itu juga akan dapat memberi masa untuk urusan persiapan Mesyuarat Parlimen dengan susunan Jemaah Menteri baharu dan proses kelulusan draf titah daripada Yang di-Pertuan Agong.
“Selaras dengan konsep “Kabinet Berorientasikan Hasil”, setiap anggota Kabinet perlu menekankan budaya kerja berprestasi tinggi bagi membantu negara memulihkan ekonomi demi kesejahteraan rakyat dan perlu bertindak pantas serta bersepadu dalam usaha membebaskan Malaysia daripada ancaman pandemik COVID-19,” katanya.
Terdahulu, media melaporkan tarikh mesyuarat pertama penggal keempat Parlimen ke 14 yang dijadualkan berlangsung pada 3 hingga 5 Ogos ini dipinda ke tarikh 13 September hingga 12 Oktober menerusi satu notis kepada Ahli Parlimen daripada pejabat Setiausaha Dewan Rakyat semalam.
Perkara itu disahkan menerusi notis dikeluarkan oleh Setiausaha Dewan Rakyat, Dr Nizam Mydin Bacha Mydin.
Tarikh baru tersebut juga menyaksikan Parlimen akan bersidang selama 17 hari, iaitu tambahan dua hari daripada jadual sebelum ini.
Difahamkan, Persidangan Dewan Rakyat ditangguhkan pada 13 September ini berikutan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menjalani kuarantin kendiri sejak beberapa hari lalu, selepas disahkan menjadi kontak rapat kepada pesakit COVID-19.
Persidangan keempat Dewan Rakyat kali ini juga merupakan persidangan kali pertama selepas berlakunya pertukaran kerajaan, susulan Ismail Sabri menggantikan Tan Sri Muhyiddin Yassin yang telah meletakkan jawatan pada 16 Ogos lalu.