1 SEPT: Kementerian Kewangan (MOF) kini sedang dalam proses pengumpulan idea dan maklum balas bagi memastikan
Belanjawan 2022 menjadi satu bajet yang inklusif dan teras penting dalam pemulihan ekonomi negara.
Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata Belajawan 2022 juga bukan hanya menjadi penentuan kelangsungan hidup rakyat, malah akan menetapkan hala tuju ekonomi Malaysia pasca pandemik COVID-19 selaras dengan Rancangan Malaysia ke-12 yang bakal dibentang dalam sesi parlimen akan datang.
“Buat pertama kalinya dalam sejarah Malaysia kita berkongsi Kenyataan Pra-Bajet (KPB) bagi meningkatkan ketelusan proses dan pembabitan rakyat dalam merangka inisiatif belanjawan tahunan dan meningkatkan keyakinan awam terutama pelabur terhadap kedudukan fiskal negara.
“Selaras dengan konsep Keluarga Malaysia saya akan mengadakan pertemuan dengan seberapa banyak pihak seperti tahun lalu dengan membabitkan perbincangan rentas parti termasuklah pembangkang, badan bukan kerajaan (NGO) dan pihak berkepentingan lain bagi membolehkan MOF membentangkan satu perbelanjaan yang inklusif untuk semua rakyat Malaysia.
“Semalam sahaja saya mengadakan sesi libat urus dengan pelbagai NGO seperti Khazanah Research Institute, Institute of Strategic and International Studies (ISIS) dan Persatuan Hospital Swasta Malaysia (APHM), untuk mendapatkan pandangan dan elemen perlu diberikan tumpuan dalam Belajawan 2022.
“Insya Allah sesi libat urus ini akan diteruskan untuk memastikan semua pandangan didengari dan dipertimbangkan,” katanya dalam sidang media khasnya hari ini.
Dalam pada itu, Tengku Zafrul menyambut baik laporan sebuah firma pengurusan sumber tenaga manusia, Hays yang melaporkan aktiviti perniagaan di Malaysia akan meningkat sebanyak 54 peratus tahun ini walaupun terdapat ketidaktentuan dalam pasaran pekerjaan berikutan pandemik COVID-19.
Beliau berkata keadaan itu berlaku berikutan usaha syarikat menggerakan operasi ke arah penggunaan teknologi bahari menerusi pelaburan dalam bidang pendigital sebagai satu langkah menyambut peluang perniagaan baharu dalam Revolusi Industri ke-4.