1 SEPT: Disebalik khabar duka penarikan balik pingat emas dimenangi atlet lontar peluru, Muhammad Ziyad Zolkefli di Sukan Paralimpik Tokyo 2020, Kontinjen Malaysia hari ini diceriakan dengan kejayaan atlet Boccia kebangsaan, Chew Wei Lun, meraih pingat perak.
Bagaimanapun, Wei Lun terpaksa berpuas hati dengan pingat perak selepas tewas 2-4 di tangan wakil Great Britain, David Smith di final acara individu BC1, hari ini.
Bagaimanapun, pencapaian atlet yang digelar ‘Pembunuh Senyap’ itu sudah cukup membanggakan selepas dia hanya meletakkan sasaran untuk mara ke suku akhir sebelum temasya Tokyo bermula.
Perak yang dimenangi Wei Lun itu menjadi pingat ketiga yang diraih kontinjen negara pada temasya kali ini selepas dua atlet powerlifting, Bonnie Bunyau Gustin dan Jong Yee Khie menyumbang emas dan perak.
Untuk rekod, ini adalah penampilan sulung Wei Lun di temasya Paralimpik dan penyertaan pertama Malaysia dalam sukan ini.
Terdahulu, Wei Lun yang juga pemain ke-11 dunia dan pemain lelaki kelima terbaik Asia mara ke final selepas menewaskan lawan dari Portugal, Andre Ramos dengan keputusan 9-5 di separuh akhir.
Bagi Smith pula, kejayaan itu menyaksikan dia berjaya mempertahan pingat emas yang dimenanginya pada temasya di Rio 2016.