1 SEPT : Atlet paralimpik Malaysia, Muhammad Ziyad Zolkefli memohon maaf kepada semua rakyat Malaysia berikutan kontroversi pembatalan pingat emas yang dimenanginya pada Sukan Paralimpik Tokyo.
Muhammad Ziyad yang menyertai acara lontar peluru F20 (kecacatan intelektual) meluahkan kesedihan itu menerusi hantaran di laman Instagramnya yang turut mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang sentiasa memberi sokongan kepadanya.
Ia berikutan pendirian Jawatankuasa Paralimpik Antarabangsa (IPC) dan World Para Athletics (WPA) menolak rayuan kontinjen Malaysia terhadap keputusan membatalkan kemenangan Ziyad yang diklasifikasikan sebagai tidak memulakan aksi walaupun melengkapkan lontaran pada saingan akhir berlangsung di Stadium Olimpik. , Tokyo.
“Saya minta maaf pada semua rakyat Malaysia, Terima kasih memberi sokongan kepada saya,” katanya, hari ini.
Dalam acara semalam Ziyad berjaya mempertahan emas dimenanginya di Rio 2016 selain memecah rekod dunia 17.29m yang dilakukan atlet itu di Kejohanan Olahraga Para Dunia London pada 2017.
Beliau membuat lontaran pada percubaan ketiga 17.94m sebelum jawatankuasa teknikal membuat keputusan kontroversi membatalkannya.
Bernama melaporkan kemenangan itu dibatalkan selepas protes oleh kem Ukraine yang mendakwa Ziyad tidak berada di bilik menunggu yang membolehkan atlet terbabit berjaya meraih emas bagi acara itu.