1 SEPT: Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menegaskan, Muhammad Ziyad Zolkefli, tetap juara di hatinya dan seluruh rakyat Malaysia biarpun pingat emas dalam acara lontar peluru F20 (kecacatan intelektual) dimenanginya di Sukan Paralimpik Tokyo 2020, semalam ditarik balik oleh pihak penganjur.
Ismail Sabri juga menganggap keupayaan Ziyad amat luar biasa kerana berjaya memecahkan rekod dunia miliknya sendiri dalam aksinya petang semalam.
“Kepada Ziyad, anda tetap juara di hati kami! Saya dan Keluarga Malaysia sangat berbangga dengan anda! Sama-samalah kita berdoa agar kemenangan pingat emas kekal ditangan Malaysia,” katanya dalam hantaran media sosialnya malam tadi.
Sebelum itu, pingat emas yang dimenangi atlet lontar negara, Muhammad Ziyad Zolkefli di Paralimpik Tokyo hari ini ditarik semula selepas terdapat protes daripada peserta Ukraine.
Media hari ini melaporkan, Olahraga Para Dunia menolak rayuan atlet negara Muhammad Ziyad Zolkefli untuk membatalkan keputusan final lontar peluru F20 pada temasya Sukan Paralimpik 2020 di Tokyo.
Keputusan itu sekali gus menyaksikan Ziyad terlepas pingat emas acara berkenaan dan rayuan selanjutnya hanya boleh dibuat selepas temasya berkenaan berakhir.
Olahraga Para Dunia dalam satu kenyataan, hari ini, berkata keputusan terhadap rayuan yang dikemukakan Ziyad bersama atlet Ecuador dan Australia itu diputuskan oleh juri rayuan badan induk itu.
“Keputusan ini berdasarkan Peraturan 5.5 Olahraga Para Dunia – ‘Gagal melaporkan diri ke Call Room’ (bilik panggilan) yang menyatakan bahawa sekiranya atlet tidak hadir ke ‘Call Room’ pada waktu yang sesuai seperti yang ditetapkan dalam jadual Call Room, keputusan yang akan ditunjukkan adalah DNS (tidak bermula).
“Berdasarkan peraturan ini, atlet dibenarkan untuk bertanding di bawah status protes ketika pengadil mempertimbangkan semua bukti mengapa atlet terlambat ke Call Room.
“Selepas mempertimbangkan bukti itu, pengadil memutuskan bahawa tidak ada alasan yang tepat untuk kegagalan atlet melaporkan diri ke Call Room tepat pada waktunya.
“Atlet mengemukakan keputusan ini kepada juri rayuan, yang memberi peluang kepada pasukan untuk menyampaikan semua maklumat yang relevan sebelum membuat keputusan akhir.
“Juri rayuan mempertahankan keputusan pengadil dan mengesahkan keputusan atlet terbabit sebagai DNS,” katanya.